Skip to main
Logo Malaysiakini

'Umno jadikan Johor batu loncatan untuk desak Ismail adakan PRU15'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

DAP Johor percaya ada kumpulan tertentu dalam Umno mahu menjadikan Johor sebagai batu loncatan untuk mendesak Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengadakan pilihan raya umum tidak lama lagi.

Andrew Chen, yang juga setiausaha DAP negeri, dalam satu kenyataan hari ini mendakwa pemimpin Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak mahu memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang agar mereka terlepas daripada pertuduhan rasuah di mahkamah.

"Umno adalah dalang dalam mendesak pilihan raya mengejut di Johor. Ia mahu Johor dijadikan batu loncatan untuk mencetuskan pilihan raya umum yang bertentangan dengan kehendak Perdana Menterinya sendiri, Datuk Seri Ismail Sabri.

“Umno yang kini diterajui bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presidennya Datuk Seri Zahid Hamidi mahu memenangi pilihan raya umum bagi membolehkan Najib dan Zahid terlepas daripada hukuman penjara atas kes rasuah mereka.

"Puak Umno yang dominan ini mempertaruhkan kepentingan rakyat. Mereka mengheret rakyat dan Sultan Johor, yang budi bicara mutlaknya diperlukan jika DUN mahu dibubarkan, ke dalam permainan kuasa Umno," kata Chen.

Kenyataannya itu muncul ketika khabar angin mengenai pilihan raya mengejut di Johor semakin kuat.

Pembangkang di negeri itu menjangkakan dewan undangan negeri (DUN) Johor mungkin dibubarkan selepas Tahun Baharu Cina bulan depan.

Chen mengulangi pendirian Pakatan Harapan (PH) dalam mesyuarat pimpinan tertingginya pada 27 Dis lalu, di mana gabungan itu berkata tidak ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya mengejut di Johor.

"Banjir dan kesannya masih belum selesai di Johor, dan varian Omicron yang melanda dunia sudah pun berada di Malaysia. Kita perlu menangani keperluan rakyat terlebih dahulu.

“Pakatan Harapan Johor juga komited untuk tidak menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Johor pimpinan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad ketika ini bagi mengelak ketidakstabilan di negeri itu,” katanya.

Dia menegaskan bahawa DAP Johor bagaimanapun bersedia untuk menghadapi pilihan raya mengejut sekiranya ia diadakan.

Menurutnya, kepimpinan DAP Johor telah menubuhkan jawatankuasa persediaan pilihan raya sejak Julai tahun lalu, dengan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching dilantik sebagai pengarah pilihan raya negeri.

"Jawatankuasa DAP Negeri Johor dan Jawatankuasa Persediaan Pilihan Raya telah berunding dengan ahli parti di seluruh negeri untuk memastikan semua bersatu untuk menghadapi pertempuran ini.

"DAP Johor juga telah mendapatkan nasihat daripada pemimpin pusat untuk mendapatkan pandangan terbaik dalam persediaan kami," katanya.