Skip to main
Logo Malaysiakini

Ops cari kanak-kanak Orang Asli hilang di hutan Perak diteruskan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Operasi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli berusia sembilan tahun yang hilang diteruskan di hutan sekitar Selaor, di timur Hutan Simpan Temenggor di Perak - lima hari selepas kehilangannya pada Khamis lalu (13 Jan).

Pengasas NGO Centre for Orang Asli Concerns (COAC) Colin Nicholas memberitahu Malaysiakini satu lagi pasukan telah dihantar pagi ini selepas kumpulan terdahulu tidak berjaya.

“Ayeng (atau Kamilia Anap, seperti namanya dalam sijil kelahirannya) mengikuti kumpulan kecil pencari rotan yang diketuai datuknya pada pagi Khamis itu.

“Kumpulan 11 orang itu sedang pulang ke kampung dan mereka berada di atas bukit yang menghadap ke penempatan itu apabila Ayeng berada di belakang atau memperlahan langkahnya.

“Kampung itu sudah kelihatan dan tempat terakhir dia dilihat adalah lokasi yang biasa baginya.

“Di sinilah kumpulan itu membuat persediaan untuk mengadakan majlis sewang,” kata COAC dalam catatan Facebook semalam.

Menurut bapa saudaranya, Langan Ateng, Ayeng mempunyai masalah pendengaran dan mengalami gangguan mental.

Susulan kegagalan Ayeng pulang ke rumah, pasukan mencari mula bergerak pada petang kehilangannya itu.

"Apabila ini tidak berjaya, seluruh komuniti telah dimaklumkan dan satu lagi pencarian dilakukan sepanjang malam oleh penduduk kampung," kata COAC pada catatan yang sama.

Laporan orang hilang dibuat pada Jumaat (14 Jan) dan satu lagi pasukan dihantar untuk mencari Ayeng.

Pasukan mencari ini termasuk anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), jabatan agama Islam, Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan penduduk Kampung Selaor dan Jambatan Dua.

Menurut COAC, 30 anggota Senoi Praaq - sayap Orang Asli dalam Pasukan Gerakan Am (PGA) - dijangka menyertai pencarian itu.

[Baca laporan asal]