Hakim nasihatkan masjid, dalang tularkan video jernihkan keadaan
Hakim yang mengetepikan hukuman penjara dan denda kepada remaja yang dimandikan seperti jenazah kerana cubaan mencuri, menyarankan agar pihak masjid serta pihak yang menularkan video insiden itu untuk meminta maaf bagi menjernihkan suasana.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Abd Halim Aman memberikan saranan demikian ketika prosiding semakan hukuman ke atas Daniel Iskandar yang dibuat Mahkamah Majistret Selayang beberapa hari lalu.
Abd Halim menyarankan pegawai syarak, ahli jawatankuasa masjid dan pihak yang merakam serta menularkan video tersebut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada tertuduh dan masyarakat.
Namun hakim menjelaskan ia hanyalah satu bentuk saranan dan bukanlah perintah daripada mahkamah.
"Jika saranan itu dipersetujui, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) boleh menjadi pihak pengatur cara.
"Langkah ini bagi menjernihkan keadaan agar ia tidak berpanjangan dan diharap perbincangan dapat dilakukan dan dipersetujui semua pihak," katanya seperti dipetik Sinar Harian.
"[...] Yang berlalu biarlah berlalu dan tidak boleh dipadam, jadikannya sebagai pengajaran yang mana pada tahap ini sewajarnya kemaafan boleh didamaikan," katanya lagi.
Untuk rekod, PPMM merupakan pihak yang membantu Daniel mendapatkan peguam untuk mewakili remaja berusia 19 tahun itu.
Dalam prosiding semakan hari ini, Mahkamah Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap Daniel, sebaliknya mengarahkan remaja itu untuk melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan.
Daniel pada minggu lalu diberkas orang awam kerana disyaki mencuri wang Masjid al-Islah di Kuang, Selangor.
Dia kemudian ditahan dan dimandikan seperti jenazah dalam usaha pihak masjid menyedarkannya mengenai kesalahan yang dibuat. Ia berlaku menjelang tengah malam pada 8 Jan.
Namun, rakaman insiden tersebut yang tular di media sosial mencetuskan polemik dengan sesetengahnya menyokong tindakan tersebut manakala yang lain berpendapat sebaliknya.
Pihak masjid dilaporkan telah meminta maaf atas tularnya video berkenaan, namun mereka juga menafikan menjadi individu bertanggungjawab yang menularkannya. Imam masjid itu juga dilaporkan telah meletak jawatan.
Sementara itu ibu Daniel, Jasma Rosli, 41, yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, segala pendapat dan keputusan yang dibuat hakim hari ini adalah sebagai pengajaran untuk semua pihak, termasuk ibu bapa.
"Saya akui kesilapan dan kecuaian saya sehingga menyebabkan perkara ini berlaku," katanya seperti dipetik Bernama.
Jasma juga menambah saranan hakim untuk pihak berkenaan membuat permohonan maaf kepada anaknya adalah bersifat menjernihkan keadaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai