Skip to main
Logo Malaysiakini

Ketua hakim syarie Perlis pertimbang tindakan undang-undang terhadap Akberdin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Hakim Syarie Perlis, Ibrahim Deris mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap peguam Akberdin Abdul Kadir, yang mewakili Ketua Hakim Syarie, Dr Mohd Na'im Mokhtar yang didakwa melakukan gangguan seksual.

Ini selepas Akberdin berkata Ibrahim tidak berhak menggesa Mohd Na'im direhatkan sehingga siasatan kes itu selesai memandangkan kenyataannya itu mungkin bermotifkan dendam.

“Buat masa ini, memadai untuk menyatakan bahawa Yang Arif (Ibrahim) sedang mendapatkan nasihat undang-undang mengenai perkara itu.

"Kenyataan akhbar terperinci akan dikeluarkan dalam masa terdekat sebaik Yang Arif menilai sepenuhnya fakta dalam perkara ini," kata peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dalam satu kenyataan bagi pihak Ibrahim hari ini.

Na'im ialah hakim syariah tertinggi di negara ini dan merupakan ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) 

Baru-baru ini, ketua hakim syarie itu terbabit dalam dakwaan gangguan seksual selepas seorang wanita yang sudah berkahwin membuat laporan polis, mendakwa dia menemui Na'im dalam keadaan berbogel di dalam bilik tidurnya pada Ogos 2020.

Kejadian itu didakwa berlaku ketika Na'im mengunjungi rumah wanita itu di Kuala Lumpur, di mana wanita itu tinggal bersama suaminya yang sedang terlantar sakit.

Ketua hakim syarie itu menafikan dakwaan tersebut, dengan mendakwa wanita itu telah membuat laporan polis palsu ke atasnya.

Na'im juga mendakwa terdapat konspirasi oleh beberapa individu dalam Jabatan Kehakiman Syariah untuk menjatuhkannya.

Minggu lalu, Ibrahim atas kapasitinya sebagai presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) telah mengeluarkan kenyataan akhbar mengatakan persatuan itu mahu Na'im direhatkan sehingga siasatan selesai.

Bagaimanapun, pada hari yang sama, timbalan presiden PPSM Muhamad Yusro Borhan Nordin mengeluarkan kenyataan balas dengan mendakwa gesaan tersebut bukan merupakan pendirian persatuan itu.

Susulan itu, Akberdin dilapor memberitahu Berita Harian semalam bahawa Ibrahim tidak berhak membuat gesaan sedemikian.

Dakwa peguam itu, Ibrahim mungkin menyimpan dendam terhadap Na'im selepas dia dipindahkan dari Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan ke Mahkamah Syariah di Perlis.

"Walaupun Presiden PPSM, Ibrahim sudah saman anak guam saya atas alasan Mohd Na'im dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memindahkannya yang berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan ke Mahkamah Syariah di Perlis.

"Pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak kes berkenaan, jadi mungkin sebab itu dia berdendam. Kemudian, pada Disember lalu, wanita terbabit membuat laporan polis.

"Sebab itu bila dia gesa anak guam saya direhatkan, keputusan itu tidak adil sebab dia bukan orang yang bebas," kata Akberdin seperti dilapor Berita Harian.