Skip to main
Logo Malaysiakini

Gesaan PRN Johor: 'Bukan sebab Umno kuat, tapi PH dalam keadaan lemah'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penganalisis melihat gesaan pemimpin Umno agar pilihan raya di Johor diadakan secepat mungkin bukanlah disebabkan parti politik itu semakin kukuh berdasarkan kemenangan PRN sebelum ini, tetapi kerana kedudukan PH yang dilihat amat lemah ketika ini.

Membayangkan keputusan PRN Johor - jika diadakan - bakal mengikut jejak langkah di Melaka tahun lalu, Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata Umno dan BN ketika ini boleh dikatakan tiada masalah untuk menghadapi pilihan raya - sama ada PRN mahupun PRU.

“(Ini) bukan sangat kerana Umno itu berada dalam keadaan yang kuat. Tapi kerana Perikatan Nasional (PN) dan PH dalam kedudukan paling lemah ketika ini.

“Kalau kita ambil kira keputusan di Melaka dan Sarawak, maka jika ada pilihan raya ketika ini Umno-BN yang akan meraih kemenangan,” katanya kepada Malaysiakini.

Ketika ini kerajaan Johor mentadbir negeri itu dengan kelebihan satu kerusi sahaja berbanding PH.

Khabar angin mengenai kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan dibubarkan semakin bertiup kencang di saat negara masih berdepan ancaman Covid-19 ketika ini.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayu kemudian berkata mereka akan menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob jika PRN Johor diadakan sekarang.

Sehari kemudian, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata PRN dan PRU perlu diadakan segera memandangkan kerajaan sedia ada sekarang sering “diugut” oleh pembangkang.

Khaled Nordin

Mengulas lanjut, Azmi berkata jika PRN Johor benar-benar diadakan, ia bakal menentukan hala tuju kerjasama antara Umno dengan Bersatu dan PAS - yang bersama-sama dalam PN.

Pada masa sama, dia berkata apa pun yang terjadi, PH tidak wajar menarik sokongan terhadap kepimpinan Ismail Sabri, memandangkan gabungan itu belum bersedia untuk menghadapi PRU sekiranya Umno terus mendesak agar Parlimen dibubarkan.

“Bagi saya tidak waras atau tidak bijak kalau PH tarik balik perjanjian persefahaman (MOU) walaupun dengan (gesaan) PRN Johor sebab kedudukan PH (sebagai) pembangkang ketika ini adalah paling lemah.

“Mereka (PH) boleh dikatakan tidak bersedia untuk menghadapi PRU walau kedudukan Ismail Sabri begitu lemah sekali…maka Umno akan mendesak supaya parlimen dibubarkan,” katanya lagi.

Untuk rekod kerajaan pusat dan PH menandatangani MOU pada 13 September tahun lalu bagi melaksanakan transformasi dan kestabilan politik.

Melalui MOU itu kerajaan pusat dijamin tidak akan digugat - seperti yang berlaku sebelum ini dan menyaksikan pertukaran jawatan perdana menteri - dan parlimen pula tidak akan dibubarkan sehingga 31 Julai tahun ini.

Isu kesihatan jatuh nombor dua

Sementara itu, Prof Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia menjangka penarikan sokongan dari PH besar kemungkinan akan menjadi realiti kerana enggan PRN diadakan dalam keadaan politik yang tidak stabil.

“PH masih mahu status quo dalam politik kerajaan Johor tetapi BN yakin untuk menawan kembali negeri itu seperti mana mereka dapatkan kembali Melaka,” katanya.

Kerajaan Johor pimpinan BN ketika ini mempunyai kelebihan hanya satu kerusi DUN susulan kematian Adun Kempas Osman Sapian pada 21 Disember lepas, dengan BN memiliki 16 kerusi DUN, Bersatu (11), PAS (satu), manakala di PH di pihak pembangkang mempunyai 27 kerusi.

“Cuma keadaan masa kini kurang sesuai diadakan PRN atau PRU kerana Malaysia masih belum pulih sepenuhnya daripada Covid-19, isu ekonomi dan isu bencana banjir...ramai rakyat yang masih memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan untuk mereka pulih kembali,” kata Rusdi.

Menyentuh mengenai wabak Covid-19 yang masih dihadapi, Azmi dan Rusdi menyifatkan isu kesihatan ketika ini sudah menjadi perkara nombor dua di kalangan ahli politik.

“Mungkin beberapa bulan lepas boleh diambil kira (isu pandemik) namun kalau kita ambil kesan daripada Melaka dan Sarawak, walaupun ada penularan varian Omicron boleh dikatakan tiada jangkitan positif yang naik mendadak.

“Jadi dalam hal ini, faktor pandemik sukar untuk digunakan sebagai kekangan PRN atau PRU sekalipun,” kata Azmi.

“Kalau kita ambil iktibar dari (PRN) Melaka dan Sarawak, maka faktor pandemik itu jatuh nombor dua dan kestabilan kerajaan negeri menjadi perkara utama,” katanya lagi.

Menyorot apa yang berlaku selepas PRN di Sabah pada 2020, Rusdi mengingatkan kepada pemimpin politik agar tidak mendedahkan risiko kepada rakyat.

“Pemimpin politik wajar memikirkan untung nasib rakyat terlebih dahulu sebelum memikirkan untuk dibuat PRN atau PRU

“Jangan risikokan rakyat dengan pertaruhkan nyawa mereka dengan buat PRN atau PRU dalam keadaan Covid-19 yang masih belum reda,” katanya lagi.