Najib: Kos pelekat RFID bawah RM1, tapi jual RM35
Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan kewajaran pelekat Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang dijual terlalu mahal sehingga mencecah RM35 sedangkan kos pelekat itu di bawah RM1 sekeping.
Najib turut mempersoalkan sama ada syarikat Touch N Go atau PLUS akan memberi rebat bagi pemilik Smartag yang tidak lagi berfungsi sekiranya plaza tol beralih sepenuhnya kepada sistem RFID atau sebaliknya
"Kos sticker (pelekat) RFID pasif biasanya bawah RM1 sekeping. Jadi, kenapa pula dijual pada harga RM35?
"Dan adakah syarikat Touch N Go atau PLUS akan memberi rebat bagi pemilik Smartag yang tidak berfungsi lagi sekiranya plaza tol beralih sepenuhnya kepada sistem RFID?
"Syarikat Touch ‘n Go dimiliki bank CIMB, Ant Group dari China, syarikat insurans AIA Group dari Amerik Syarikat dan firma pelaburan Bow Wave Capital dari New York," kata Najib dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof mengarahkan PLUS, mencari penyelesaian berhubung isu kesesakan yang dilaporkan berlaku di plaza tol berikutan pelaksanaan sistem teknologi RFID.
PLUS mengumumkan peralihan kepada sistem pembayaran transaksi tol RFID secara berperingkat bermula Sabtu lalu.
Namun sepanjang tempoh berkenaan sehingga hari ini, masih ada pengguna yang menggunakan pelekat RFID berdepan kesulitan ketika melalui plaza tol.
Mengulas lanjut, Najib berkata pelekat RFID sepatutnya diberi percuma kepada setiap pelanggan Touch N Go kerana kosnya rendah.
"Pada ingatan saya, sticker RFID sepatutnya diberi percuma kepada setiap pelanggan Touch N Go sebab kosnya rendah dan ia memang percuma dari tahun 2018 hingga Feb 2020.
"Bermula 15 Feb 2020, ia dijual pada harga RM35 sekeping pula," tulis Najib.
Dalam satu lagi hantaran berasingan di Facebook, Najib berkata CIMB telah memperolehi keuntungan tambahan sebanyak RM1.16 bilion pada tahun lepas akibat kenaikan nilai syarikat Touch N Go.
‘Jadi, sebab apa masih mahu jual sticker RFID yang kosnya kurang dari seringgit pada harga RM35 sekeping?
‘Jika tidak mahu beri percuma lagi, turunkanlah harganya ke RM5,’ katanya.
Bekas perdana menteri itu berkata fokus firma berkenaan sepatutnya pada perniagaan teras iaitu e-wallet atau e-dompet dan bukan melalui keuntungan melampau melalui penjualan pelekat tersebut.
“Jangan jaga kepentingan bank-bank besar sahaja sehingga membebankan rakyat biasa.”
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai