Skip to main
Logo Malaysiakini

'Sejak bila Jabatan Perhutanan Kelantan jadi pakar habitat rimau?'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penafian Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) berhubung imej kesan aktiviti pembalakan berdekatan lokasi habitat harimau di Pos Bihai, Gua Musang didakwa melangkaui bidang kepakaran mereka.

Presiden Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil berkata demikian ketika mengulas penafian JPNK berhubung imej yang dirakam dron dan tular semalam.

"Sejak bila JPNK menjadi subject matter expert (pakar bidang) dalam perihal kawasan memburu, membiak dan migrasi harimau?

"Kenyataan melangkaui skop kemahiran jabatan ini adalah tidak bertanggungjawab dan patut dihentikan oleh JPNK.

"Mengapa agensi teknikal haiwan liar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara Negeri Kelantan dan Semenanjung tidak mengeluarkan kenyataan sebegini?" katanya kepada Malaysiakini.

Pada 7 Januari lalu, seorang lelaki Orang Asli, Anek Along maut dibaham harimau dalam kejadian di Kampung Sau dekat Pos Bihai.

Kejadian berlaku ketika mangsa sedang menumbuk padi huma bersama anak perempuannya di belakang rumah.

Media pula baru-baru ini melaporkan sebuah NGO mengesan aktiviti pembalakan yang dirakam menggunakan dron di kawasan habitat harimau yang terletak berdekatan kampung Orang Asli di Pos Bihai.

Imej daripada dron milik Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) itu dirakam ketika tinjauan mereka di lokasi berkenaan pada Isnin hingga Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Pengarah JPNK, Abdul Khalim Abu Samah dilaporkan berkata imej yang diambil itu menampakkan seolah-olah jaraknya berdekatan, namun sebenarnya jauh antara lima hingga enam kilometer daripada lokasi serangan.

Mengulas lanjut, Shariffa turut mempersoalkan apakah JPNK akan terus mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat untuk terus mengelirukan rakyat.

"Apakah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan akan terus mengeluarkan kenyataan tidak tepat dan yang bukannya dalam skop kemahiran jabatan tersebut untuk mengelirukan rakyat dengan menutup aktiviti pembalakan yang memusnahkan khazanah alam yang kini tidak terkawal di negeri Kelantan? soalnya.