Skip to main
Logo Malaysiakini

'Berat sebelah' - DAP bidas SC kerana lepaskan Azam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemimpin kanan DAP mengkritik Suruhanjaya Sekuriti (SC) kerana melepaskan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki daripada tuduhan melanggar Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda).

Terdahulu hari ini, SC mengumumkan suruhanjaya itu telah menyelesaikan siasatan terhadap isu pegangan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.

SC memulakan siasatan terhadap Azam selepas dia mengatakan adiknya, Nasir Baki menggunakan akaun dagangannya untuk membeli saham-saham berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mempersoalkan keputusan SC itu.

“Bagaimana SC boleh melaksanakan kewajipan statutori jika SC tidak dapat mengesahkan bahawa Azam telah melanggar Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) sedangkan Azam secara jelas dan terbuka mengakui bahawa dia telah membenarkan adiknya menjalankan dagangan saham secara proksi?”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas menteri kewangan itu berkata SC tidak menjelaskan mengapa Azam tidak melanggar Sicda atau dari mana dia mendapat dana untuk membeli saham-saham berkenaan.

Lim juga menegaskan bahawa suruhanjaya itu telah mengenakan tindakan terhadap pihak yang menggunakan akaun perdagangan secara proksi sebelum ini.

Sebagai contoh, katanya, pada tahun 2011, SC telah mengenakan kompaun sebanyak RM25,000 terhadap seorang individu kerana membenarkan orang lain berdagang saham menggunakan akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) miliknya.

“Ini jelas dwistandard. Adakah SC akan mengembalikan denda yang telah mereka bayar dan memohon maaf kerana mendakwa mereka?

“Melainkan SC boleh bertindak terhadap Azam, (di bawah) Seksyen 25(4) Sicda lemah dan tak berguna,” kata ahli Parlimen Bagan itu.

SC perlu beri penjelasan

Senada dengan Lim, timbalan pengerusi DAP Gobind Singh Deo turut menggesa SC menjelaskan keputusan berkenaan.

“Kenyataan satu baris daripada SC tidak mencukupi. Jelaskan butirannya  kepada umum.

“Jelaskan siapa yang dipanggil untuk membantu siasatan, apakah yang didedahkan dalam siasatan itu, apakah kesan terhadap bukti dalam undang-undang yang terpakai, dan mengapa anda tidak dapat membuat kesimpulan sama ada berlaku pelanggaran.

"Alasan harus diberikan untuk menyokong sebarang keputusan," kata ahli parlimen Puchong itu.

Gobind berkata, penemuan SC itu menjelaskan mengenai keperluan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Mengenai Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk mengadakan pendengaran berhubung kontroversi pemilikan saham Azam.

"SC juga harus dipanggil untuk membantu dan menjelaskan pendirian mereka pada pendengaran itu," tambahnya.

Mesyuarat PSC pada awalnya dijadualkan esok, bagaimanapun ia ditangguhkan selepas Azam berkata dia membantah agenda mesyuarat berkenaan.

Apakah Azam guna akaunnya?

Berdasarkan kesimpulan yang diumumkan SC, ahli parlimen DAP Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen membuat spekulasi apakah ia bermaksud Azam sebenarnya berbohong.

“Jadi SC mendakwa bahawa mereka tidak boleh secara konklusif 'membuktikan pelanggaran’.

“Yang pada asasnya mengesahkan bahawa Azam kemungkinan besar menggunakan akaunnya sendiri untuk membeli saham tersebut, bukan adiknya. Dan berbohong mengenainya," ciapnya di Twitter.