Saham Azam Baki: Masih ada persoalan walau siasatan SC selesai - peguam
Masih ada persoalan tak terjawab di sebalik selesainya siasatan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berhubung isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, menurut peguam Haniff Khatri Abdulla.
Dalam video di Facebooknya semalam, Haniff berkata Azam masih wajar mengambil cuti rehat sementara siasatan lanjut dibuat.
Dia berkata, di bawah pekeliling kerajaan berhubung pengisytiharan harta yang dikeluarkan pada 2002, penjawat awam perlu mengisytiharkan pemilikan saham dan ia juga menetapkan jumlah maksimum yang boleh dilaburkan dalam pegangan saham.
Namun belum dipastikan sama ada tindakan membenarkan adiknya, Nasir Baki untuk membuka akaun saham menggunakan namanya melanggar peraturan itu.
“Persoalannya, bilakah siasatan ini akan diadakan?
“Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Mengenai Rasuah, Rais Yatim telah menyatakan perkara sama bahawa ia wajar disiasat pihak berkuasa - sama ada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau pengarahnya - untuk melihat jika ada pelanggaran undang-undang dalaman yang membolehkan tindakan tatatertib lanjut diambil
Selain itu, katanya lagi, perlu dilihat jika ada unsur rasuah berkaitan penggunaan akaun Azam oleh adiknya.
“Berbanding meleretkan perkara ini (sehingga) berpanjangan, pihak berkuasa patut menubuhkan jawatankuasa siasatan khas seperti yang disyorkan saya dan ramai lagi sebelum ini.
“Adalah tanggungjawab peguam negara untuk mengambil teraju menyelesaikan siasatan terhadap dua perkara ini, walaupun jika kita menerima kenyataan SC yang kononnya telah menutup siasatan dan (mendapati) tiada kesalahan berkaitan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda),” katanya lagi.
Haniff berkata Azam sendiri wajar mencadangkan siasatan dibuat secepat mungkin kerana dia pasti hendak membersihkan namanya.
Dalam kenyataan semalam, SC berkata pihaknya tidak dapat “secara muktamad” memutuskan berlaku pelanggaran dalam Seksyen 25(4) Sicda apabila Nasir dikatakan membuka akau dagangan saham menggunakan nama Azam.
Rekod awam menunjukkan bahawa Azam adalah pemegang waran penting dalam syarikat senarai awam Excel Force MSC Snd Bhd setakat Mac 2016 semasa dirinya adalah ketua jabatan siasatan SPRM.
Isu ini mencuri tumpuan pada Disember tahun lalu selepas ahli akademik Edmund Terence Gomez meletak jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, atas dakwaan panel itu enggan meneliti perkara berkenaan.
Susulan itu, Azam mendakwa urusan tersebut berlaku kerana akaun dagangannya digunakanoleh adiknya, Nasir.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai