Skip to main
Logo Malaysiakini

'Keputusan SC tunjukkan Azam Baki memang perlu diarahkan cuti '

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketidakupayaan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menentukan secara muktamad sama ada Azam Baki telah melakukan pelanggaran undang-undang atau tidak menunjukkan perlunya ketua pesuruhjaya SPRM itu direhatkan sementara dia disiasat, kata pakar ekonomi Dr Edmund Terence Gomez .

Gomez yang merupakan bekas ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM berkata ini kerana keputusan SC semalam sangat mengejutkan dan "tidak boleh diterima."

"SC yang tidak menyatakan sebab mengapa ia tidak dapat secara muktamad menentukan kesahan dakwaan terhadap Azam menimbulkan persoalan yang sangat membimbangkan - mengapa semua usaha untuk memulakan siasatan terhadap dakwaan ini tidak menghasilkan siasatan yang mendalam dan terbuka?

"Walaupun kes itu dilaporkan secara meluas di media dan dibangkitkan di Parlimen dan dibawa ke perhatian lembaga penasihat SPRM, tiada siasatan bebas dilakukan. Sekarang kita diberitahu oleh SC yang ia tidak dapat menentukan jika Azam melanggar undang-undang.

"Rentetan peristiwa membimbangkan ini, di mana siasatan dihalang atau tidak mencapai keputusan memuaskan, menunjukkan betapa penting untuk Azam diarahkan bercuti rehat sejak dari awal dakwaan dibuat.

"Kerajaan gagal bertindak dengan tegas berhubung isu ini, sebaliknya membenarkan dia kekal sebagai ketua pesuruhjaya SPRM ketika sedang disiasat," katanya lagi.

Semalam SC menyatakan mereka telah menyelesaikan siasatannya terhadap isu pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, dan tidak dapat “secara muktamad” memutuskan berlaku perlanggaran undang-undang.

“SC telah memutuskan siasatannya dan berdasarkan bukti yang ada, SC tidak dapat secara muktamad memutuskan pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Sicda telah berlaku,” kata SC dalam kenyataan semalam.

Susulan keputusan itu, Azam mengumumkan dia akan meneruskan tugasnya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Mengulas lanjut, Gomez menggesa kerajaan segera menubuhkan jawatankuasa bebas untuk mengkaji semula perkara itu.