Skip to main
Logo Malaysiakini

'Beberapa ahli Jawatankuasa mahu mesyuarat siasat Azam Baki ditangguh'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Beberapa daripada sembilan ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri telah mencadangkan penangguhan mesyuarat hari ini yang mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki supaya tampil memberi keterangan.

Perkara itu didedahkan dalam kenyataan akhbar oleh pengerusi jawatankuasa berkenaan, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) dalam satu kenyataan malam tadi.

Abdul Latiff menjelaskan bahawa Azam telah menulis surat kepada Setiausaha Dewan Rakyat dan terdapat beberapa isu perundangan yang memerlukan nasihat.

“Pejabat Penasihat Undang-Undang (PUU) Parlimen perlu mengambil masa untuk meneliti kes ini, kerana ia agak rumit dan tidak dapat memberikan jawapan sebelum Rabu (hari) ini.

“Oleh itu, terdapat cadangan daripada beberapa ahli jawatankuasa agar mesyuarat tersebut ditangguhkan dan saya telah bersetuju dengan cadangan tersebut,” kata Abdul Latiff.

Memandangkan keempat-empat ahli Jawatankuasa Agensi yang terdiri daripada wakil rakyat pembangkang telah membantah penangguhan itu, ia bermakna mereka yang menyokong penangguhan itu adalah di kalangan ahli parlimen kerajaan.

Abdul Latiff tidak menyatakan tempoh masa yang diberikan supaya penasihat undang-undang merujuk semula kepada Jawatankuasa Agensi mahupun kepada setiausaha Dewan Rakyat.

Empat anggota pembangkang - Azis Jamman (Warisan-Sepanggar), Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu), Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dan William Leong (PH-Selayang) - berhujah bahawa Jawatankuasa Agensi boleh meneruskan mesyuarat hari ini dengan menarik balik sepina untuk membincangkan perkara lain yang berkaitan seperti terma rujukan dan senarai saksi.

Pengkritik seperti Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata adalah salah untuk menangguhkan mesyuarat Jawatankuasa Agensi kerana ini boleh diteruskan dengan membincangkan isu yang dibangkitkan Azam. Ini, kata Akmal, adalah sebahagian daripada mandat jawatankuasa dan Parlimen untuk memantau eksekutif.

Jawatankuasa Agensi telah berada di bawah tekanan untuk menyiasat pegangan ekuiti besar Azam pada 2016 semasa dia adalah pengarah siasatan SPRM, yang mungkin bertentangan dengan peraturan kerajaan.

Azam mengakui memiliki saham berkenaan, tetapi penjelasannya adalah dia tidak mempunyai kepentingan kewangan dan sebaliknya waran dalam syarikat - Excel Force MSC Sdn Bhd - diperolehi oleh adiknya, Nasir.

Berita ini telah menimbulkan keraguan sama ada ini dibenarkan bawah undang-undang perdagangan tetapi Suruhanjaya Sekuriti berkata siasatannya tidak dapat “secara muktamad” memutuskan berlaku perlanggaran undang-undang bahawa Azam telah melakukan kesalahan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang menyelia SPRM, belum memberikan sebarang ulasan mengenai kontroversi itu sejak ia dilaporkan secara meluas pada akhir Disember.