Skip to main
Logo Malaysiakini

'SC mesti jelaskan jika kes Azam libatkan jual beli saham secara proksi'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) digesa menyatakan secara jelas sama ada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki terlibat dalam jual beli saham secara proksi atau tidak.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, jika tidak SC berisiko dilihat terlibat dalam usaha menutup isu itu.

Lim berkata, Azam telah mengaku secara terbuka bahawa akaun sahamnya pernah digunakan orang lain.

“Seperti semua pasaran modal membangun di seluruh dunia. Malaysia telah melarang jual beli saham secara proksi melalui Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda).

“Bagaimana SC boleh untuk tidak bertindak ketika Azam secara terbuka mengaku dia membenarkan adiknya menjalankan jual beli saham secara proksi?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Bekas menteri kewangan itu berkata lagi, tidak berbaloi untuk menggadaikan reputasi SC dan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal Malaysia hanya kerana seorang individu.

Selepas isu itu hangat diperkatakan, Azam pada 5 Januari lalu berkata dia memiliki pegangan dalam Excel Force MSC Bhd pada 2016 selepas adiknya menggunakan akaunnya.

Susulan itu, saham tersebut dipindahkan kepada adiknya dan maka Azam mendakwa dia tiada kepentingan kewangan dalam transaksi tersebut.

Peraturan kerajaan melarang penjawat awam memegang saham berjumlah lebih RM200,000.

Semalam, SC berkata pihaknya tidak dapat secara muktamad memutuskan berlaku pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Sicda.

Dalam pada itu, Lim mempersoalkan jika SPRM juga akan membersihkan SC daripada sebarang kesalahan.

“Dengan SC membersihkan Azam daripada kesalahan, timbul juga persoalan jika siasatan SPRM terhadap SC juga akan ditutup atau dilupakan dalam diam.

“Bolehkah kita jangka kenyataan serupa daripada SPRM yang membersihkan SC daripada sebarang kesalahan?” soalnya lagi.

Pada 9 Januari lalu, sebuah NGO membuat laporan pada SPRM terhadap pengurusan tertinggi SC atas dakwaan konflik kepentingan dan menuduh ahli lembaga pengarahnya memiliki RM28.2 pegangan saham dalam pelbagai syarikat.