Skip to main
Logo Malaysiakini

Gobind: Adakah SC rujuk siasatan Azam Baki kepada peguam negara?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo mempersoalkan sama ada Suruhanjaya Sekuriti (SC) ada merujuk hasil siasatannya terhadap kes pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kepada Peguam Negara Idrus Harun untuk mendapatkan pandangan.

Gobind yang juga seorang peguam menjelaskan, ini kerana sudah menjadi amalan biasa bagi peguam negara untuk memberikan pandangan selepas meneliti hasil sesuatu siasatan.

“Kuasa untuk memulakan, menjalankan dan menghentikan sebarang prosiding untuk kesalahan di negara ini terletak pada peguam negara. Perkara ini dinyatakan di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi peguam negara selepas melihat hasil siasatan, untuk memberi pandangan dan/atau mengarahkan siasatan lanjut dilakukan mengenai perkara itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, SC telah menyelesaikan siasatannya terhadap isu pegangan saham Azam, dan tidak dapat “secara muktamad” memutuskan berlaku perlanggaran undang-undang.

SC telah memutuskan siasatannya dan berdasarkan bukti yang ada, SC tidak dapat secara muktamad memutuskan pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Sicda telah berlaku,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan semalam.

Ia membangkitkan bantahan beberapa pihak, antaranya bekas ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM, Dr Edmund Terence Gomez yang menyifatkannya sebagai sangat mengejutkan dan "tidak boleh diterima."

Menurut Gobind lagi, peguam negara tidak boleh berdiam diri dalam perkara itu dan perlu menjelaskan perkara sebenar.

“Adakah dia mengkaji hasil siasatan yang dilakukan oleh SC itu dan membuat sebarang keputusan berkaitannya?” soalnya.