Skip to main
Logo Malaysiakini

3 hari selepas sambutan, PAS terus selar Hari Agama Sedunia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemimpin-pemimpin PAS terus menyelar Sambutan Hari Agama Sedunia, tiga hari selepas sambutannya pada Ahad lalu.

Malah, kecaman itu terus dilontarkan walaupun badan yang memuat naik poster sambutan itu di media sosial telah pun memadamnya.

Akhbar web PAS Harakahdaily hari ini memuat naik laporan yang memetik ketua ulamanya Ahmad Yahaya yang mengaitkan sambutan itu dengan agenda “pluralisme agama”.

“Fahaman tersebut adalah berakar umbi di dalam fahaman relativisme yang tidak menerima sebarang ajaran sebagai mutlak dalam kebenarannya,” dia dipetik sebagai berkata.

Ahmad Yahaya 

Isu itu mencuri perhatian selepas Akademi Dr Har memuat naik poster sambutan dengan ayat al-Quran yang menyebut Allah menjadikan manusia berbangsa dan bersuku-suku supaya mereka saling mengenali.

Timbalan menteri agama Ahmad Marzuk Shaary antara pihak yang tampil menyelarnya dengan berkata istilah perayaan Hari Agama Sedunia bercanggah dengan Islam kerana mempunyai unsur pengiktirafan kepada kebenaran agama lain.

Pengamal perubatan Prof Dr Harlina Halizah Siraj sebagai pengasas dan pengarah Akademi Dr Har kemudian mengucapkan terima kasih atas reaksi diberikan.

Dia berkata pihaknya mengambil sepenuh tanggungjawab dan membuat keputusan untuk menurunkan poster itu demi menghormati teguran dan pandangan yang diberikan.

Sementara itu, Harakahdaily juga hari ini menyiarkan kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis Asrul Aimran Abd Jalil yang berkata tiada sambutan seumpama itu dalam Islam.

“Perkara ini jelas, kerana Allah telah menyebut dalam Al-Quran bahawa agama di sisi Allah hanyalah Islam.

“Ia bermaksud hanya agama Islam boleh dijadikan cara hidup untuk seluruh masyarakat di dalam negara mahupun dunia,” katanya.