Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Orang disiasat siasat penyiasatnya, dan penyiasat pula siasat orang disiasat’

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman mempersoalkan kewajaran Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang mengisytiharkan bahawa siasatannya terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki tidak dapat penemuan secara konklusif memutuskan berlaku perlanggaran undang-undang.

Katanya, sejurus selepas SC mengumumkan bahawa ia akan menjalankan siasatan ke atas Azam, satu laporan SPRM telah dibuat oleh sebuah NGO terhadap pemimpin kanan SC.

Dakwaan terhadap SC adalah sama seperti yang dilemparkan terhadap Azam, berkaitan pemilikan saham dan perdagangan orang dalam atau insider trading.

Susulan laporan itu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa SPRM sedang menyiasat SC.

Syed Saddiq, yang mengetuai Ikatan Demokratik Malaysian (Muda), berkata bahawa ini membawa kepada situasi yang menyaksikan SPRM dan SC saling menyiasat satu sama lain.

“Di sini kita lihat orang yang disiasat menyiasat penyiasatnya, dan selepas itu penyiasat menyiasat orang yang disiasat, penyiasat tersebut (kemudiannya) membersihkan orang yang disiasatnya

“Ramai juga bertanya, kes yang melibatkan SC itu kes lama, kenapa hanya bila ketua (pesuruhjaya) SPRM disiasat oleh SC baru diumumkan siasatan ke atas SC yang sedang menyiasat ketua SPRM.

“Pada hal itu kes lama yang umum sudah tahu ada laporan sebelum ini. Kenapa hanya sekarang sebaik saja siasatan itu (terhadap) dilakukan?” katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Syed Saddiq berkata dengan pengumuman SC yang kini mengisytiharkan siasatannya terhadap Azam sebagai "tidak konklusif", adakah SPRM kini juga akan membuat penemuan yang sama terhadap SC.

SC semalam mengeluarkan kenyataan mengumumkan bahawa ia telah menyelesaikan siasatannya terhadap kes pegangan saham Azam, dengan mengatakan bahawa ia tidak dapat memastikan secara konklusif bahawa berlaku pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

Seksyen 25(4) SICDA pula memperuntukkan bahawa akaun dagangan mesti dibuka atas nama yang berfaedah pemilik atau penama yang diberi kuasa.

Azam mencuri tumpuan susulan pendedahan pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015 bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu.

Pegangan sahamnya dalam Gets Global Berhad susut kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016. Namun ia bernilai sekitar RM340,000 pada masa itu.

Dia juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Pemilikan saham berkenaan pada 2015 dan 2016 telah menimbulkan persoalan sama ada ia sepadan dengan pendapatannya sebagai penjawat awam atau sebaliknya dan kebimbangan berlaku konflik kepentingan.

Azam kemudian mendakwa saham itu bukan miliknya tetapi dibeli oleh adik atas namanya. Ini mendorong SC turut terlibat berhubung kemungkinan akan penyalahgunaan akaun dagangannya.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq mencadangkan penubuhan sebuah pasukan petugas khas untuk meneliti kes Azam, seperti dalam siasatan ke atas skandal 1MDB.

“SPRM dulu pernah tubuhkan special task force 1MDB. Dia sokong. Kenapa tak boleh buat task force dalam bab ini?

“Mereka tidak harus takut. Jangan takut, kalau tak buat salah, jangan takut, biarkan undang-undang menentukannya,” katanya.

Syed Saddiq merujuk kepada pasukan petugas khas yang ditubuhkan oleh peguam negara ketika itu Abdul Gani Patail pada 2015, untuk menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pasukan petugas itu, yang cuba untuk mendakwa perdana menteri ketika itu Najib Razak atas pertuduhan menyeleweng dana 1MDB, kemudiannya dibubarkan dan hanya dihidupkan semula selepas dia digulingkan daripada kuasa pada pilihan raya umum 2018.

Syed Saddiq juga mengkritik cara pihak berkuasa mengendalikan kes Azam, dengan berkata, ia telah mewujudkan persepsi orang ramai bahawaterdapat layanan “dua darjat”.

“Walaupun tiada layanan dua darjat, persepsi itu sangat kuat kerana ketua SPRM kekal berkuasa, bagaimana anak buah yang dilantik oleh KP SPRM boleh adakan siasatan telus dan adil?” soalnya sambil menambah bahawa persepsi negatif itu akhirnya akan merugikan institusi dan pegawai yang menjalankan tugas dengan setia.

Dia juga mengulangi bahawa Azam perlu bercuti dan membiarkan agensi berkaitan, termasuk SPRM, SC, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan polis menjalankan siasatan.