Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri arah siasat RMT bekal nasi tanpa lauk kepada murid

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Pendidikan Radzi Jidin memandang serius mengenai satu hantaran di media sosial yang mendakwa makanan yang dibekalkan kepada murid-murid sekolah bawah Rancangan Makanan tambahan (RMT) adalah hanya nasi putih tanpa sebarang lauk.

Katanya, arahan juga sudah diberikan supaya dakwaan tersebut disiasat lanjut.

“Malam tadi saya dimaklumkan tentang satu hantaran di Facebook yang tular mengenai gambar nasi putih dan kuah yang didakwa sebagai makanan kepada murid di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

“Saya memandang serius dakwaan tersebut dan telah arahkan supaya siasatan lanjut dibuat, termasuk mengenalpasti sekolah yang terlibat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak berkompromi dalam hal yang melibatkan kebajikan murid.

Semalam, tular satu hantaran seorang pemilik Facebook berserta gambar yang dimuat naik sambil mendakwa cucu saudaranya hanya menerima menu RMT yang menghidangkan nasi putih tanpa sebarang lauk kecuali kuah.

Pemilik Facebook itu juga mempersoalkan jika peruntukan RMT adalah terlalu sedikit sehingga pengusaha kantin terpaksa menyediakan menu makanan tambahan sedemikian kepada murid-murid.

Program RMT dilaksanakan bagi menggantikan program sarapan pagi percuma untuk murid sekolah rendah selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020.

Awal bulan ini, Malaysiakini melaporkan Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) memohon kerajaan mempertimbang menaikkan kadar bayaran bagi RMT yang sekarang diberi peruntukan RM2.50.

Dengan wang itu, pengusah kantin dikehendaki membekalkan nasi lauk ayam, air Milo dan buah. PPKSM memohon supaya kadar itu dinaikkan kepada RM4.00