Mat Sabu bela Tengku Zafrul, tegur aksi menteri 'berlakon'
PARLIMEN | Walaupun sesetengah orang mentertawa dan mempersenda kemunculan Tengku Zafrul Abdul Aziz semasa Taman Sri Muda dilanda banjir baru-baru ini, Presiden Amanah Mohamad Sabu sebaliknya memuji menteri kewangan terbabit.
Malah ahli parlimen Kota Raja itu menganggap apa yang dilakukan Tengku Zafrul adalah betul berbanding tindakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Kata Mohamad, menyelamatkan mangsa banjir bukanlah tugas seorang menteri sebaliknya melihat keadaan yang ada di lokasi dan membuat perancangan bagi menangani isu tersebut.
Menurut Mohamad memang ada orang yang merungut apabila Tengku Zafrul datang ke kawasan banjir dengan 'rombongan' sehingga penuh bot yang dinaikinya.
"Bagi saya, menteri-menteri tak perlu turun, pergi tengok itu ini, (sebaliknya) dia perlu ada di bilik gerakan.
"[...] menteri kewangan turun dengan bot yang penuh, saya setuju. Orang komplen sebab menteri kewangan tidak menyelamatkan orang. Bukan itu tugas Menteri Kewangan!
"Dia pergi tengok, balik, buat bajet untuk bantu rakyat. Itu baru betul," katanya semasa berbahas di Dewan Rakyat hari ini.
Parlimen mengadakan sidang khas sehari bagi membincangkan isu banjir besar yang melanda beberapa negeri khususnya Selangor dan Pahang pada pertengahan Dis tahun lalu.
Mari memerintah dengan betul
Tengku Zafrul adalah antara anggota kabinet yang turun padang untuk melihat keadaan mangsa banjir di Shah Alam. Bagaimanapun kedatangan ahli Dewan Negara itu mengundang kemarahan dan hasut maya yang meluas apabila dia diiringi ramai pegawai.
Dia juga sempat mengagihkan bekalan makanan kepada beberapa penduduk yang terjejas.
Tidak lama kemudian beberapa menteri lain turut menjadi sasaran kecaman kerana didakwa 'bersandiwara' dengan pelbagai aksi yang dipertikaikan. Misalnya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun.
Ismail Sabri sendiri menjadi perhatian kerana beraksi seolah-olah membersihkan kotoran dengan penyodok di depan sekumpulan jurugambar di Hulu Langat, Selangor.
Kata Mohamad, seseorang menteri yang berkaitan perlu berada di bilik gerakan dan memberikan arahan kepada pihak yang berkaitan mengenai bagaimana bantuan dan tindakan perlu diambil.
"Bukan pergi berlakon scoop (menyodok) itu ini. Tu tak perlu.
"Berada di bilik gerakan dan beri arahan kepada pegawai kerajaan, itu (barulah) kerja menteri. Bukan pergi angkut sana sini... ini lakonan.
"Jadi tinggalkanlah lakonan itu, mari kita memerintah cara betul," katanya lagi.
Terdahulu Tengku Zafrul memberitahu Dewan Rakyat mengenai pelbagai bentuk bantuan yang sudah dirancang untuk diberikan kepada mangsa banjir terbabit.
Katanya ada tiga kategori bantuan disediakan kerajaan, iaitu wang tunai, inisiatif masyarakat dan kemudahan pinjaman.
Ketika kerajaan akan terus meningkatkan kesiapsiagaan negara bagi menangani bencana alam secara lebih holistik, Tengku Zafrul mengakui, antara punca bencana alam itu ialah kesan perubahan iklim dan pembangunan yang tidak mampan.
“Oleh itu, dalam Belanjawan 2022, Kementerian Kewangan memperuntukkan RM450 juta untuk pemuliharaan kelestarian alam sekitar dan biodiversiti,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai