Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas AG, kerajaan cuba halang perbicaraan salah laku terhadap saya - Najib

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Najib Razak mendakwa bekas peguam negara Tommy Thomas dan kerajaan cuba menghalang mahkamah daripada mendengar dakwaan salah laku terhadap bekas perdana menteri itu.

Dia mendakwa inilah yang mendorong permohonan Thomas dan kerajaan untuk meminggirkan saman pendakwaan secara salah bekas perdana menteri itu.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Najib berkata ini adalah hujahnya terkandung dalam afidavit yang difailkan hari ini sebagai jawapan kepada afidavit Thomas sebelum ini yang menyokong peminggiran saman itu.

“Hari ini, 20 Jan 2022, saya memfailkan afidavit untuk menjawab afidavit Thomas dan kerajaan. Saya menyatakan perkara berikut dalam afidavit saya.

"Bahawa langkah untuk membatalkan dakwaan saya adalah satu percubaan untuk menghalang dakwaan salah laku terhadap saya disiarkan di mahkamah terbuka," kata Najib.

Sebelum ini dalam afidavit menyokong permohonan meminggirkan saman itu, Thomas mendakwa saman Najib berkenaan bermotifkan politik berikutan menjelangnya pilihan raya negeri (PRN) Melaka serta Pilihan Raya Umum ke-15.

Thomas juga kemudiannya berhujah bahawa sebagai peguam negara dan pendakwa raya ketika itu, budi bicaranya untuk memulakan atau menghentikan prosiding jenayah adalah di luar bidang kuasa mahkamah (non-justiciable), atau bukan perkara yang boleh dicabar di mahkamah, menurut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan .

Dalam kenyataan media hari ini, Najib mendakwa bahawa pertikaian Thomas berhubung budi bicara pendakwaan melanggar hak asasinya untuk kesaksamaan di sisi undang-undang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Keterangan khusus Tommy Thomas, dalam afidavitnya, adalah tidak adil. Beliau menegaskan bahawa 'semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan undang-undang yang sama' tidak menggunapakainya apabila melibatkan pendakwaan terhadap saya.

“Adakah saya tidak diberi perlindungan yang sama seperti rakyat Malaysia yang lain?

"Fakta yang saya harapkan terkandung dalam afidavit saya dan akan disiarkan di mahkamah," kata Najib.

Ketika dihubungi petang ini, peguam bekas perdana menteri itu, Yudistra Darma Dorai mengesahkan anak guamnya memfailkan afidavit itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur awal hari ini.

“Saman ini bukan ulangan prosiding jenayah. Tidak sedikit pun. Ia bukan percubaan untuk membebaskan Najib di mahkamah sivil.

“Ia hanya berdasarkan dakwaan salah laku Tommy Thomas. Itu sahaja.

"Fakta-fakta yang membantah permohonan untuk meminggirkan saman, terdapat dalam afidavit anak guam saya," kata pengamal undang-undang itu kepada Malaysiakini.

Yudistra menambah, tindakan undang-undang ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya di hadapan Mahkamah Tinggi pada 1 Mac.

Pada 19 Nov tahun lepas, dilaporkan bahawa Thomas dan kerajaan memfailkan untuk membatalkan saman Najib atas alasan bahawa ia adalah serangan cagaran untuk menggagalkan kes mahkamah jenayah bekas perdana menteri itu.

Laporan media memetik petikan daripada afidavit Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ahmad Akram Gharib, yang antara lain berpendapat bahawa Peguam Negara diberi kuasa dengan budi bicara untuk memulakan, menjalankan dan menghentikan pendakwaan, mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Terdahulu pada 22 Okt tahun lepas, pasukan peguam Najib memfailkan saman terhadap Thomas dan kerajaan berhubung dakwaan pendakwaan secara salah bekas perdana menteri itu bagi beberapa kes jenayah.

Plaintif berhujah bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam, penyalahgunaan proses dengan niat jahat dan kecuaian.

Bekas perdana menteri itu mendakwa kerajaan bertanggungjawab atas perbuatan Thomas.

Najib menyatakan bahawa tindakan Thomas adalah berhubung pertuduhan jenayah yang dilemparkan terhadapnya berhubung kes 1MDB, kes International Petroleum Investment Company (IPIC), dua kes dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di bawah Akta SPRM 2009.

Bekas menteri kewangan itu bagaimanapun menyatakan ia tidak melibatkan pertuduhan berhubung SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB yang kemudiannya menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Najib mendakwa berikutan kemunculan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Dr Mahathir Mohamad selepas pilihan raya umum ke-14 pada 2018, beliau dikenakan 35 pertuduhan jenayah yang dikaitkan dengan empat kes itu.

Bekas perdana menteri mendakwa, antara dakwaan lain, bahawa pertuduhan terhadapnya telah lama dirancang oleh Thomas dan kerajaan PH ketika itu.

Plaintif sedang menuntut, antara lain relif, pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan penyelewengan dalam jawatan awam, lebih RM1.9 juta, serta ganti rugi am dan teladan.

[Baca berita asal]