'Kita nak dengar langkah Nadma tangani banjir, bukan sejarah penubuhan'
Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun) berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad harus meletak jawatan kerana taklimatnya hari ini mengenai banjir yang melanda negara pada Disember tidak menjawab soalan penting.
Ini berikutan taklimat Abdul Latiff di Dewan Rakyat hari ini terutamanya meliputi pembentukan dan fungsi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
“Saya mendengar penjelasan menteri yang bertanggungjawab ke atas Nadma dan beliau hanya menjelaskan tentang sejarah penubuhannya dan bukannya apa yang Nadma lakukan semasa bencana banjir baru-baru ini.
“Jika ada kelemahan, akui saja demi ketelusan, dan apa yang akan dilakukan untuk mengatasi kelemahan itu agar ia tidak berulang.
“(Sejarah pembentukan Nadma) bukan apa yang kita nak dengar sebenarnya, saya rasa lebih sesuai menteri letak jawatan sekiranya beliau tidak dapat memikul tanggungjawab penting ini,” kata Mukhriz semasa mesyuarat khas di Dewan Rakyat hari ini untuk membincangkan bencana banjir Disember lalu.
Ucapan Abdul Latiff antara lain meliputi pembentukan Nadma, pengeluaran Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20, peranan pelbagai agensi berdasarkan jenis bencana serta peringkat pengurusan bencana.
Abdul Latiff juga berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan Nadma di peringkat negeri dan daerah, yang selaras dengan keputusan kabinet pada 22 Dis 2021 untuk mengkaji semula struktur semasa Nadma bagi mengukuhkan peranannya sebagai agensi pengurusan bencana negara.
"Perkara itu sedang dikaji oleh Nadma serta Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya.
Nadma juga telah mengambil inisiatif untuk memperkukuh pengurusan pengurangan risiko bencana (DRR) melalui penggubalan dasar DRR, katanya.
“Meningkatkan pelaburan dalam melaksanakan inisiatif DRR dari segi kapasiti sumber manusia, pemerkasaan institusi, pengembangan langkah mitigasi, aplikasi teknologi dan mempergiatkan langkah kesiapsiagaan negara.
"Nadma juga sedang merangka Rang Undang-undang Pengurusan Bencana yang antara lain meliputi aspek tadbir urus, penguatkuasaan, kesiapsiagaan, DRR, tindak balas, pemulihan dan pembangunan semula," kata Abdul Latiff.
Tambahnya, pusat Kawalan Bencana Negara juga akan diperkasakan dengan mengambil kira keperluan pengurusan maklumat yang dinamik, tepat dan pantas yang akan memudahkan perancangan, pelaksanaan operasi, pemberian bantuan, pemulihan awal dan pembangunan semula.
“Antara perkara yang akan diberi tumpuan ialah memastikan data berkaitan bencana daripada pelbagai agensi diseragamkan, terkini dan mempunyai ciri ramalan impak dan pengesan permintaan untuk membantu dalam membuat keputusan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai