'Ucapan Zuraida mengenai orang utan disunting, diputar belit'
Pejabat Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mendakwa, kandungan ucapan Zuraida Kamaruddin mengenai dakwaan orang utan yang membunuh manusia di negara ini sebenarnya sudah disunting.
Lebih daripada itu, pejabat terbabit juga menyatakan ada pihak tertentu "memutar belit" ucapan Zuraida yang sepatutnya difahami sebagai gurauan semata-mata.
Dalam kenyataan media dikeluarkan petang tadi, pejabat berkenaan berkata, ucapan Zuraida dipetik di luar konteks dan bertujuan menyindir ahli parlimen Ampang itu serta kementerian.
"Dalam ucapan itu, menteri berkongsi pengalamannya semasa melawat Arab Saudi baru-baru ini.
"Duta Malaysia di sana menceritakan kepadanya tentang beberapa perkara yang telah dipelajarinya di negara itu mengenai minyak sawit.
"Isu orang utan dibangkitkan dalam ucapan itu untuk meminta agensi yang berkaitan mengkaji lebih lanjut habitat dan tabiat hidupan spesies berkenaan, selaras dengan matlamat mampan negara untuk mempromosikan biodiversiti.
"Dapatan daripada kajian itu kemudian akan dibentangkan kepada pihak berkepentingan seperti Kesatuan Eropah yang berdepan dengan pelobi antiminyak kepala sawit negara yang boleh memberi kesan jangka panjang kepada sektor itu," katanya.
Berhenti kongsi kandungan video
Dalam klip video yang tersebar di kebanyakan media sosial, Zuraida dilihat sedang berucap mempertahankan minyak kepala sawit Malaysia serta dakwaan bahawa industri itu mengancam populasi orang utan di Malaysia.
Dalam ucapan itu Zuraida berkata, kemungkinan untuk haiwan berkenaan membunuh manusia adalah lebih besar berbanding sebaliknya.
Rakaman rakaman turut dikongsi bekas ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Menurut Zuraida semasa dia mengerjakan umrah di Mekah baru-baru ini duta Malaysia memberitahu bahawa buku sekolah di negara Arab menceritakan hal yang negatif termasuk mendakwa industri minyak kelapa sawit membunuh orang utan.
"Saya beritahu dia, di Malaysia, kalau awak nampak orang utan, orang utan akan bunuh awak dulu, bukan awak bunuh orang utan dulu, kan?" katanya.
Bekas naib presiden PKR itu juga menegaskan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mempunyai prosedurnya sendiri dalam mengendalikan haiwan berkenaan.
Pejabat Zuraida berkata ucapan itu diadakan pada majlis tertutup anjura Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) baru-baru ini.
Katanya tindakan pihak yang "memutarbelitkan" ucapan itu hanya menjejaskan usaha kementerian dan MPOC untuk mempromosikan minyak kelapa sawit Malaysia.
"Kami menyeru pengguna media sosial untuk berhenti berkongsi kandungan yang menyeleweng itu kerana ia hanya akan merendahkan semangat kakitangan kementerian yang gigih serta agensinya yang menunjukkan komitmen untuk mempromosi minyak kelapa sawit Malaysia," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai