Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: 22 kematian terbaru, jumlah korban 31,853

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sebanyak 22 kematian terbaru akibat Covid-19 direkodkan di seluruh negara semalam, menjadi jumlah kematian yang berpunca daripada wabak itu meningkat kepada 31,853 kes.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, daripada jumlah kematian terbaru itu, sebanyak 22.7 peratus atau 5 orang meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Selangor mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi iaitu seramai tujuh orang diikuti Perak (3), Johor (2), Negeri Sembilan (2), Sabah (2), Terengganu (2), Kedah (1), Kelantan (1), Pahang (1) dan Sarawak (1) .

Tiada kematian baru dilaporkan di Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 19 daripada 22 kematian yang dilaporkan atau 86.4 peratus berlaku dalam tempoh tujuh hari lalu.

Kematian selebihnya berlaku lebih seminggu lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 22 kematian akibat Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam tempoh 30 hari lalu berbanding purata 15 kematian dalam tempoh tujuh hari, yang menunjukkan trend  penurunan.

Sehingga kini, sebanyak 655 kematian akibat Covid-19 dilaporkan pada bulan ini.

Sebanyak 1,174 kematian dilaporkan pada Disember 2021, 1,612 kematian pada November 2021, 2,704 kematian pada Oktober 2021 dan 9,678 kematian berlaku pada September 2021.

Setakat semalam, sebanyak 41,617 kes aktif Covid-19 direkodkan, yang merupakan peningkatan 3.3 peratus daripada 40,276 kes aktif seminggu lalu.

Berbanding 30 hari lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 18.4 peratus daripada 51,026 kes.

Kementerian Kesihatan mengeluarkan butiran terpeinci mengenai jangkitan baru Covid-19 lewat malam tadi di laman web Github.

Daripada 3,764 kes baru semalam, sebanyak 514 daripadanya dikesan daripada kluster Covid-19 sedia ada.

Daripada jumlah itu, sebanyak 378 (73.5 peratus) adalah dari institusi pendidikan manakala 117 (22.8 peratus) adalah kluster tempat kerja.

Kes selebihnya dikesan daripada kluster kumpulan berisiko tinggi seperti rumah orang tua (14 - 2.7 peratus), acara keagamaan (2 - 0.4 peratus), pusat tahanan (2 0.4 peratus) dan penularan komuniti (1 - 0.2 peratus ).