Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | Ada ramai lagi Rohana

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Ismail Sabri Yaakob untuk menyelesaikan berkenaan isu gadis yang bernama Rohana Abdullah yang dibesarkan oleh Chee Hoi Lan - orang Cina yang mendidik Rohana dengan ilmu agama yang baik.

Kehidupan Rohana amat tertekan akibat tiada kerakyatan di negara sendiri kerana dia bukan sahaja tidak mempunyai kad pengenalan, malah tidak boleh mempunyai kad bank serta belajar di negara sendiri.

Namun begitu, sebagai perdana menteri, dia harus sedar isu ini bukan sahaja berkenaan Rohana semata-mata.

Ramai lagi anak-anak tanpa dokumen terutamanya isu terpencil di negeri Sabah dan Sarawak.

Pelbagai sebab mengapa anak-anak ini tidak mempunyai dokumen.

Antaranya jika seseorang anak itu lahir di negara luar dan mengikut ibunya maka anak itu secara automatik gagal mendapat kewarganegaraan.

Begitu juga anak-anak yang ditinggalkan oleh ibu bapa atau yang dibuang oleh orang tua sendiri.

Siapa yang patut kita salahkan dalam isu ini?

Seorang anak yang tidak pernah diminta lahir dalam keadaan seperti itu, tetapi mereka terpaksa menanggung akibat daripada tindakan orang tua mereka.

Perkara ini juga jelas menunjukkan kepincangan sistem negara kita dalam isu kewarganegaraan seseorang.

Jika benar perdana menteri serta menteri kabinet hari ini prihatin tentang isu Rohana mereka perlu menyelesaikan masalah permohonan anak-anak yang tiada dokumen.

Ini berlaku kerana sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sendiri.

Saya juga minta isu ini dibawa dalam sidang parlimen akan datang bagi menyelesaikan masalah yang menghantui oleh rakyat, yang dilihat seolah-olah “menumpang” di negara sendiri.

Sistem yang ada dilihat lebih menindas dan tidak membantu sesetengah individu untuk mendapat kewarganegaraan walaupun mereka lahir di negara ini.

Kita perlu menyelesaikan masalah ini supaya lebih ramai “Rohana” dapat diselamatkan.

Janganlah apabila tular tentang sesuatu isu barulah kita sibuk menjuarai isu itu sedangkan ia dapat dielakkan melalui penggubalan polisi yang lebih baik.

Saya berharap semua ahli parlimen baik daripada pihak kerajaan dan pembangkang dapat memberi komitmen tentang isu anak-anak tanpa dokumen ini diselesaikan dengan kadar yang segera.


P PRABAKARAN ialah ketua Pemuda PKR (AMK) Wilayah Persekutuan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.