Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir sebabkan harga makanan naik, inflasi - Jabatan Perangkaan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Inflasi mencecah 2.5 peratus pada tahun lepas yang merupakan peningkatan ketara berbanding deflasi 1.2 peratus pada tahun sebelumnya.

Menurut Jabatan Perangkaan, Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Dis 2021 yang mengukur kadar inflasi negara meningkat 3.2 peratus berbanding bulan yang sama pada 2020.

Kenaikan itu melepasi purata inflasi bagi tempoh 2011 hingga 2021 iaitu 1.9 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan IHP antaranya didorong oleh harga kenaikan harga makanan dan minuman bukan alkohol disebabkan banjir yang melanda negara ini.

“Hujan lebat yang berlaku di beberapa negeri seperti Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sepanjang Dis 2021 berikutan peralihan monsun timur laut telah menyebabkan kenaikan harga makanan terutama sayur-sayuran, ikan dan makanan laut.

“Peningkatan ini disebabkan kesan langsung kekurangan bekalan akibat faktor cuaca.

“Hujan lebat berterusan yang mengakibatkan banjir serta tanah runtuh yang berlaku di negeri pengeluar sayur-sayuran seperti Pahang turut menyumbang kepada kenaikan harga ini dan secara langsung menyumbang kepada peningkatan inflasi negara.

“Bagaimanapun pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang diumumkan kerajaan pada 7 hingga 31 Dis telah meredakan inflasi kumpulan ini daripada terus melambung tinggi ,” kata Mohd Uzir dalam satu kenyataan hari ini.

IHP sesetengah makanan meningkat dua angka

IHP untuk dua item meningkat dua digit - ayam (13.6 peratus) dan telur (13.5 peratus) - jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

“(Ayam) mencatatkan harga purata RM9.54 sekilogram berbanding RM8.40 pada Dis 2020 ,” katanya.

Malah, semua kumpulan makanan menyaksikan peningkatan dalam IHP iaitu daging (8.3 peratus); susu, keju dan telur (5.5 peratus); sayur-sayuran (5.0 peratus); minyak dan lemak (4.4 peratus); dan ikan dan makanan laut (4.2 peratus).

Golongan Miskin paling terkesan

Mohd Uzir berkata, kenaikan harga makanan dan minuman bukan alkohol lebih dirasai oleh isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

Berbanding dengan populasi umum, kumpulan pendapatan ini mengalami IHP yang lebih tinggi bagi harga minyak (6.7 peratus); susu, keju dan telur (6.0 peratus); dan ikan dan makanan laut (4.4 peratus).

Mereka juga mengalami IHP yang lebih tinggi untuk pengangkutan serta untuk perumahan, air, elektrik, gas dan bahan bakar berbanding populasi umum.

 “Penamatan diskaun elektrik di bawah pakej Pemulih, yang berakhir pada Sep 2021, memberi kesan kepada inflasi bagi kumpulan (berpendapatan) di bawah RM3,000,” kata ketua perangkawan itu.

Semua negeri menyaksikan peningkatan IHP

Sejumlah negeri khususnya mengalami kecenderungan yang melepasi kadar inflasi negara (3.2 peratus).

Kumpulan negeri terbabit ialah - Terengganu (3.9 peratus); Kelantan (3.8 peratus); Selangor dan Kuala Lumpur (3.7 peratus); Perak (3.7 peratus); Kedah dan Perlis (3.7 peratus); Pahang (3.6 peratus); Johor (3.4 peratus); dan Negeri Sembilan (3.3 peratus).

Faktor harga minyak

Antara faktor penyumbang yang menyebabkan kenaikan kadar inflasi tahunan meningkat kepada 2.5 peratus ialah kenaikan harga ayam, minyak masak dan sayur-sayuran.

Tindakan kerajaan untuk menghentikan diskaun bil elektrik juga membawa kepada keadaan itu.

Bagaimanapun sebab utama kenaikan inflasi adalah harga siling untuk bahan bakar.

“Penetapan harga siling RON95 oleh kerajaan bermula Mac 2021 pada RM2.05 merupakan penyumbang utama kepada kenaikan kadar inflasi,” kata Mohd Uzir.

Katanya kadar inflasi itu bukan merupakan perkara luar biasa dihadapi Malaysia kerana ia juga dialami di negara seperti Amerika Syarikat (7.0 peratus dari Jan 2020 hingga Dis 2021) dan Zon Euro (5 peratus dari Jan 2020 hingga Dis 2021).