Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes Azam: Jawatankuasa pilihan khas parlimen akan panggil SC, kata Wong Chen

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kewangan dan Ekonomi (PSSC) akan memanggil Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk mendapatkan penjelasan daripada badan kawal selia pasaran saham itu berkenaan kes pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen, yang merupakan timbalan pengerusi jawatankuasa itu, memberitahu Malaysiakini bahawa proses untuk mengadakan siasatan telah dimulakan awal hari ini.

Menurut Wong, perkara itu telah dibincangkan dengan ahli parlimen Rompin Hasan Arifin, yang menurutnya "terbuka kepada idea" untuk memanggil SC untuk menjelaskan siasatannya yang baru selesai terhadap Azam.

“Jadi proses sudah bermula, saya bercakap dengan urusetia PSSC pagi ini.

"Sekretariat sedang menulis surat kepada Kementerian Kewangan sebagai ihsan. Mereka juga sedang menghubungi semua ahli parlimen yang terlibat untuk menentukan tarikh dan masa yang sesuai untuk mereka (mengadakan sesi siasatan)," katanya ketika dihubungi petang ini.

Jawatankuasa itu mempunyai seramai sembilan orang ahli. Selain Arifin dan Wong, yang lain ialah Idris Jusoh (Besut), Mohd Redzuan Md Yusof (Alor Gajah), Robert Lawson Chuat (Betong), Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus), Ong Kian Ming (Bangi), Teresa Kok (Seputeh), dan Khalid Samad (Shah Alam).

Peraturan Dewan Rakyat membenarkan semua jawatankuasa terpilih mengeluarkan sepina untuk memaksa individu dan organisasi hadir dan memberi keterangan di hadapan mereka. Kegagalan mematuhi sepina boleh mengakibatkan penahanan.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan setakat ini sama ada PSSC mengeluarkan sepina ke atas SC atau tidak.

'Kenyataan tidak memuaskan'

Wong petang ini telah memuat naik ciapan Twitter mengenai langkah memanggil SC, yang menurutnya adalah disebabkan kenyataan pihak berkuasa itu baru-baru ini mengenai kes Azam yang "tidak memuaskan".

Menurut ahli parlimen PKR itu, ahli jawatankuasa berkongsi pendapat yang sama bahawa mereka harus menjemput SC untuk memberi keterangan dan memberikan butiran lanjut.

"Soalan utama yang perlu dijawab oleh SC ialah apakah 'bukti bebas' yang mereka kumpulkan yang kemudian membimbing mereka kepada kesimpulan bahawa Azam Baki tidak melakukan kesalahan.

"Adakah mereka menemu bual Azam Baki? Adakah mereka bercakap dengan mana-mana pihak ketiga lain, seperti broker dan jurubank? Dokumen perdagangan apa yang mereka semak?" kata Wong.

Menurutnya, walaupun soalan itu mudah, ia penting untuk dijawab oleh SC, terutamanya sama ada mereka telah menemu bual Azam sebelum menyelesaikan siasatan atau tidak.

"Sekiranya SC menemu bual Azam Baki, maka Azam Baki pasti telah meyakinkan SC bahawa perdagangan itu adalah semata-mata miliknya dan bukan bagi pihak adiknya.

"Jika ini yang sebenarnya berlaku, SC akan berada dalam kedudukan untuk tidak membenarkan apa-apa lagi tindakan terhadap Azam Baki.

"Bagaimanapun, senario ini kemudiannya akan mengesahkan bahawa Azam telah berbohong kepada orang ramai apabila Azam mendakwa dia bertindak sebagai penama untuk adiknya. Dalam senario ini, Azam juga boleh melanggar peraturan perkhidmatan awam mengenai pembelian saham."

Sekiranya SC tidak menemu bual Azam semasa penyiasatannya, Wong berkata ia akan menunjukkan bahawa pengawal selia perdagangan saham itu telah menjalankan "kerja penyiasatan buruk".

Azam mendapat perhatian berhubung pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015, bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu.

Pegangan sahamnya dalam Gets Global Berhad turun kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016, bernilai sekitar RM340,000 pada masa itu.

Azam juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Pemilikan saham pada 2015 dan 2016 telah menimbulkan persoalan sama ada ia sepadan dengan pendapatannya sebagai penjawat awam dan kebimbangan konflik kepentingan.

Azam mendakwa saham itu bukan miliknya tetapi dibeli oleh adiknya atas namanya, mendorong SC turut terlibat untuk menyiasat kemungkinan penyalahgunaan akaun dagangannya.

Pada 18 Jan, SC mengeluarkan kenyataan mengatakan mereka telah menamatkan siasatan mereka terhadap Azam dan berdasarkan bukti yang dikumpul, mereka "tidak dapat memastikan secara muktamad bahawa pelanggaran di bawah seksyen 25(4) Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda) telah berlaku".

Bagaimanapun, berikutan kritikan meluas mengenai pengumumannya, SC mengeluarkan penjelasan pada hari berikutnya (19 Jan), di mana ia menjelaskan bahawa ia tidak menemui bukti kejadian sedemikian.