Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN Johor: Semua orang nak politik dikurangkan sekarang, kata PAS

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PAS berpendapat belum sampai masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya negeri (PRN) di Johor.

Timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata negeri itu baru saja berhadapan dengan banjir besar dan rakyanya masih mengalami pelbagai kesukaran.

Selain itu Tuan Ibrahim berkata, PAS yakin ketika ini rakyat mahu politiking dikurangkan pada waktu ini.

"Saya fikir semua orang mahu kita kurangkan main politik sebab rakyat susah, tapi terpulang kepada kerajaan Johor.

"Kalau terbubar (dewan undangan negeri - DUN) kita terpaksa hadapi pilihan raya," katanya seperti dipetik BH Online hari ini.

Desas-desus mengenai pembubaran DUN Johor semakin panas sehari dua ini dengan beberapa pertemuan dalam kalangan pemimpin Umno negeri itu dilaporkan sedang atau bakal berlangsung.

Utusan Online mendakwa semua bahagian Umno di Johor dijadual bermesyuarat pada malam ini dengan dipengerusikan bekas ahli parlimen Johor Bahru, Shahrir Samad.

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad pula - menurut BH Online - dijangka menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, pada minggu hadapan bagi memohon perkenan DUN.

Umno kini dipercayai berada dalam keadaan yakin untuk memenangi banyak kerusi DUN jika PRN diadakan di Johor. Bagaimanapun sesetengah pemerhati berpendapat inisiatif itu bukan sekadar mencari majoriti yang kukuh buat Umno di negeri tersebut, malah secara tidak langsung 'membunuh' Bersatu

Pakatan Harapan (PH) juga sebelum ini menyatakan sekarang bukan waktu yang sesuai untuk diadakan PRN.

Tuan Ibrahim berkata sebelum ini sudah ada dua PRN dijalankan iaitu di Melaka dan Sarawak.

Jika boleh, kata menteri alam sekitar dan air itu, PAS tidak mahu terlalu banyak pilihan raya yang berbeza tarikhnya.

"Akhirnya, rakyat akan berada dalam situasi berpolitik sepanjang waktu. Kalau ada PRN seperti di Sarawak jentera akan turun.

"Jadi saya fikir kita kena kurangkan politik," katanya.

Sementara itu Bernama pula melaporkan Tuan Ibrahim sebagai berkata sebarang perbincangan di antara PAS dengan Umno untuk PRN Johor hanya akan dibuat selepas DUN dibubarkan.

“Kita tunggu dulu PRN Johor jadi ke tidak, (selepas itu) akan (ada) perbincangan dengan Umno," katanya.