Skip to main
Logo Malaysiakini

MB mahu Adun tunjuk kawasan didakwa berlaku pembalakan di Bentong

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail mahu dua Adun pembangkang membuktikan dakwaan bahawa kegiatan pembalakan kembali beroperasi di Bentong.

Wan Rosdy menyifatkan kenyataan yang dibuat Adun Bilut Lee Chin Chen dan Adun Tras Chow Yu Hui sebagai tidak berasas.

"Itu dia cakap tu...jangan dengar cakap dia. Pandangan sayalah, kalau kita dah tahu orang macam tu, tak pakailah (kenyataannya)," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Geran kepada 569 peneroka Felda Kemasul, dekat Bentong, hari ini.

Dia berkata demikian selepas diminta mengulas dakwaan Lee dan Chow mengenai kebimbangan penduduk di Taman Shahbandar Height, Bentong yang mengadu terdengar bunyi mencurigakan di kawasan hutan berhampiran penempatan mereka.

ia menimbulkan persoalan sama ada kegiatan pembalakan di Pahang kembali diizinkan walaupun larangan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Pahang awal bulan ini.

Chow bersama penduduk Taman Shahbandar Height sudah membuat laporan polis berkenaan perkara itu pada 20 Jan lalu dan meminta tindakan segera dilakukan, termasuk menyiasat sama ada kegiatan pembalakan di kawasan terbabit melanggar undang-undang atau sebaliknya.

 Lee pula Lee turut menunjukkan gambar yang didakwanya dirakamkan dron menunjukkan kegiatan pembalakan sedang dijalankan dalam skala yang membimbangkan di kawasan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Dr Sallehuddin Ishak turut meminta Adun terbabit mengemukakan bukti berkaitan dakwaan dibuat mereka.

"Minta dia buktilah... suruh dia tunjuk kawasan mana, kalau betul ada (aktiviti) pembalakan, kita pergi sama-sama ke kawasan itu," katanya.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Jabatan Perhutanan Pahang telah mengeluarkan arahan penangguhan sementara terhadap aktiviti pembalakan sempena musim tengkujuh dan bencana banjir.

Surat yang dilihat Malaysiakini itu dikeluarkan Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang Mohd Hizamri Mohd Yasin pada 3 Jan.