Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN Johor: Muhyiddin akan jumpa pemimpin bahagian bincang persiapan jentera

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bersatu Johor akan membuat persiapan untuk melancarkan jentera pilihan raya berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang membuka jalan bagi 56 kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha Bersatu Johor Dr Sahruddin Jamal berkata bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, selaku Ketua Bersatu Johor, akan mengadakan mesyuarat dengan semua pemimpin dan jentera bahagian negeri.

“Mesyuarat ini akan membincangkan beberapa perkara berkaitan termasuk persiapan jentera parti bagi menghadapi PRN Johor akan datang,” kata Sahruddin.

Selain itu, Sahruddin berkata Bersatu Johor juga akan mengadakan pertemuan dengan PAS dan Gerakan sebagai komponen PN di negeri itu bagi tujuan yang sama untuk menyelaraskan jenteranya.

“Bersatu Johor akan sentiasa meletakkan negeri dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan dan pada masa sama terus berkhidmat untuk kebaikan negeri dan rakyat,” katanya.

DUN Johor dibubarkan semalam, membuka laluan kepada PRN ketiga sejak 2020.

Penyandang jawatan menteri besar Hasni Mohammad semalam berkata kerajaan negeri dengan majoriti satu kerusi tidak boleh terus berfungsi berdasarkan "ihsan" pembangkang.

Kerajaan pimpinan Umno mempunyai memegang 28 kerusi berbanding pembangkang 27 kerusi berikutan kematian bekas menteri besar Osman Sapian bulan lepas.