'Malangnya, kerajaan jarang bercakap isu perubahan iklim'
Ketua Bersatu Segambut Mahathir Mohd Rais menyuarakan kebimbangan berhubung apa yang disifatkannya sebagai tiadanya tindakan untuk mendepani perubahan iklim.
“Negara kita pada masa ini berdepan dengan perlawanan dengan ‘pembunuh’ yang boleh dielakkan. Nama ‘pembunuh’ ini adalah perubahan iklim.
“Malaysia tidak asing dengan segala perjanjian dan rundingan yang dibuat PBB.
“Ini bermakna kerajaan sedar tentang pentingnya tindakan segera untuk melawan perubahan iklim tetapi ia tidak mengubah hakikat tentang kemerosotan ekosistem kita, jelas dapat dilihat pada habitat hutan dan tanah lembap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahathir membangkitkan yang Malaysia telah bersetuju dengan beberapa pelaburan untuk meningkatkan kebingkasan iklim.
“Selain itu, kita juga termasuk dalam Perjanjian Iklim Paris 2015, yang kita telah kemas kini dalam Sumbangan Nasional Ditetapkan (NDC) pada Ogos 2021, dengan menyatakan hasrat kita untuk mengurangkan pembebasan karbon menjelang 2030.
“Selain itu, kita juga terlibat dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat antarabangsa pada 2014,” katanya lagi.
Namun, dia mempersoalkan sejauh mana retorik itu diamalkan apabila banjir, tanah runtuh, penebangan hutan dan jerebu sering kali berlaku.
“Contoh jelas adalah banjir yang melanda beberapa negeri tahun lalu. Malah pada minggu lalu, beberapa kawasan di Ipoh dilanda banjir kilat secara tak semena-mena.
“Gelombang haba juga melanda negara baru baru ini menyebabkan ramai menjadi tidak sihat.
“‘Pembunuh senyap’ paling bahaya adalah peningkatan paras air di kawasan pesisir Sabah dan Sarawak,” dakwanya lagi.
Mahathir mempersoalkan usahakerajaan berkaitan agenda alam sekitar terutama di kawasan pedalaman.
“Pembakaran terbuka, penebangan hutan haram, kurangnya pelaksanaan 3R (pengurangan, guna semula dan kitar semula), kebun haram dan peningkatan projek pembangunan hartanah - walaupun sudah banyak rumah di Malaysia - ini semua ‘dibiarkan’ pihak berkuasa.”
Memastikan perubahan
Katanya lagi, tiada juga insentif untuk memajukan pembangunan jentera teknologi baru atau mesra alam sekitar bagi memastikan perubahan dibuat.
“Kalau pun perubahan ‘berlaku’, ia kerana NGO. Ada beberapa NGO yang membawa agenda penanaman semula pokok, memungut sampah di laut dan mendidik orang ramai berhubung ancaman perubahan iklim.
“Malangnya, kerajaan jarang bercakap tentang isu membimbangkan ini. Sangat mengecewakan apabila melihat kesan perubahan iklim menyebabkan peningkatan kadar kemiskinan dan ketaksamaan di kalangan rakyat negara kita,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai