Skip to main
Logo Malaysiakini

ROS tolak permohonan pendaftaran parti Sains tanpa beri sebab

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Parti Aspirasi Sains Malaysia (Sains) dimaklumkan bahawa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menolak permohonan pendaftaran parti itu sebagai sebuah parti politik.

“ROS, melalui emel rasmi bertarikh 21 Januari 2022 yang dihantar pada lewat petang Jumaat lalu, menyatakan bahawa permohonan itu telah ditolak, tetapi jabatan tersebut tidak memberikan sebarang sebab atas penolakan tersebut.

“Sains telah memohon pendaftaran lebih tujuh bulan lalu pada 9 Jun 2021,” menurut kenyataan dari pejabat komunikasi dan media Sains hari ini.

Menurut Setiausaha Agungnya Afiq Harraz, Sains akan mengemukakan rayuan kepada ROS terhadap penolakan pendaftaran itu.

Afiq menambah, Badan Eksekutif Pusat (BEP) parti itu telah memutuskan untuk menggunakan semua saluran undang-undang sedia ada bagi mempertahankan hak mereka sebagai rakyat Malaysia untuk berpersatuan seperti yang termaktub dalam Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan sekiranya keputusan rayuan itu masih dengan tidak adil, menolak permohonan mereka.

“Sains mengecam sekeras-kerasnya keputusan ROS menolak permohonan kami tanpa memberikan sebarang alasan yang sah,” menurut kenyataan itu lagi.

Parti itu menggelarkan partinya sebagai parti politik sains yang pertama di Malaysia dengan tujuan untuk meningkatkan peluang sama rata bagi semua rakyat di negara ini dan mendorong negara ke arah menuntut ilmu melalui penerapan sains dan “penggunaan akal yang berterusan.”

Baru-baru ini, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang diketuai oleh ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya dapat mendaftarkan partinya apabila Mahkamah Tinggi mengarahkan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan RoS mendaftarkan parti itu secara sah dalam tempoh 14 hari.

Ia merupakan proses yang lama sebelum parti itu dapat diluluskan secara sah.

Parti Sosialis Malaysia juga mengalami proses selama satu dekad untuk didaftarkan secara sah, sebelum mendapat kelulusan pada 2008.