Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tiada pembalakan': MB Pahang sekadar nafi kosong - Adun Bilut

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bilut Lee Chin Chen mendakwa Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail membuat penafian kosong yang tidak bertanggungjawab berhubung isu pembalakan di Bentong.

Terkejut dengan kenyataan itu katanya, hal ini menunjukkan Wan Rosdy bukan seorang menteri besar berjiwa rakyat.

"Penduduk tempatan membuat laporan polis, tetapi beliau memilih untuk menutup mata daripada (mengakui) hakikat itu.

"Adakah menteri besar berasa penduduk tempatan membuat laporan polis palsu? Sikapnya sungguh mengecewakan," katanya.

Mengulas lanjut Lee berkata gambar rakaman dron jelas menunjukkan kegiatan pembalakan berskala besar sedang berlaku di kawasan Bentong.

Menurutnya, terdapat juga gambar yang memaparkan kayu-kayu balak yang menunggu dihantar keluar, video dan gambar yang tular di media sosial juga cukup membuktikan kewujudan aktiviti penebangan hutan di Bentong.

"Kenyataan menteri besar yang kononnya minta bukti adalah tidak munasabah dan sama sekali tidak boleh diterima.

"Menteri besar tidak mengarahkan Jabatan Perhutanan Negeri supaya menjalankan siasatan dengan segera selepas menerima aduan daripada penduduk tempatan ataupun Adun pembangkang, tetapi sebaliknya memburuk-burukkan Adun pembangkang yang mendedahkan kegiatan berkenaan," jelasnya.

Terdahulu, Wan Rosdy mahu dua Adun pembangkang membuktikan dakwaan bahawa kegiatan pembalakan kembali beroperasi di Bentong.

Dia menyifatkan kenyataan yang dibuat Lee dan Adun Tras Chow Yu Hui sebagai tidak berasas.

Sementara itu, Lee mendakwa Jabatan Perhutanan Pahang meluluskan kegiatan pembalakan atas tanah berkenaan sepanjang tempoh 1 November 2021 sehingga 31 Januari 2022, namun arahan dikeluarkan pada 3 Januari bagi menangguhkan aktiviti pembalakan selepas bencana banjir melanda negeri itu.

Bagaimanapun katanya, pihak berkenaan mengabaikan larangan Jabatan Perhutanan Pahang secara terang-terangan dan meneruskan aktiviti pembalakan dengan degil.

"Tindakan kontraktor dan pelesen berkenaan tidak menghormati undang-undang dan seumpamanya satu tamparan bagi menteri besar.

"Menteri besar asyik meminta saya mengemukakan bukti bagi pembalakan haram tetapi mengelak daripada bercakap atas kegiatan pembalakan yang dijalankan dalam tempoh larangan pembalakan.

"Adakah menteri besar cuba melindungi mana-mana pihak," soalnya.

Tambah Lee, dia juga mengalu-alukan tawaran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Dr Sallehuddin Ishak untuk turun padang bersama.

"Beliau boleh menghubungi saya pada bila-bila masa, saya boleh melawat tapak penebangan bersamanya dengan penduduk tempatan bagi membantu kerajaan negeri dalam siasatannya.

"Berlakunya banjir yang paling teruk di Bentong pada 18 Disember lalu dan ribuan keluarga terkesan.

"Tidak cukup besarkah pengajaran ini," soalnya sambil bertegas kerajaan negeri perlu memandang serius terhadap kegiatan pembalakan dalam negeri dan kesannya terhadap banjir.