Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN Johor tiada kaitan 'kluster mahkamah' - Shahril

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan menolak dakwaan pilihan raya negeri Johor akan datang berkaitan cubaan sekumpulan pemimpin Umno yang berhadapan perbicaraan pertuduhan rasuah di mahkamah yang belum selesai.

Kumpulan terbabit yang dijuluki gelaran 'kluster mahkamah' oleh sesetengah pihak didakwa mahu memperkukuh kedudukan mereka melalui dakwaan campur tangan kehakiman.

"Mengaitkan PRN Johor dengan 'kluster mahkamah' ternyata tersasar. Ia tiada kena mengena mengenai pemisahan kuasa antara badan eksekutif dan badan kehakiman.

"Malah, bukankah pilihan raya suatu amalan paling asas demokrasi dan justeru konsep pemisahan kuasa itu sendiri - yakni memberi mandat rakyat kepada badan legislatif?

"Tiada kena mengena langsung dengan mana-mana kes mahkamah," kata Shahril pada satu kenyataan.

Dia memberi maklum balas terhadap Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan semalam yang meramalkan "kluster mahkamah" Umno mungkin mencetuskan lebih banyak pilihan raya negeri selepas pembubaran DUN Johor.

Wan Saiful telah mencadangkan kluster mahkamah "semakin terdesak dan merasakan bahawa satu-satunya cara untuk lari dari penjara ialah dengan merobek pemisahan kuasa."

"Saya tidak pelik jika Johor akan diikuti oleh negeri lain pula. Begitulah realiti orang terdesak yang rakus kuasa dan takut penjara," katanya.

Saiful berkata demikian merujuk dakwaan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bahawa pemimpin Umno mahu dia campur tangan dalam kes mahkamah mereka.

Sementara itu, Shahril menegaskan Umno dan BN telah bertanding dalam hampir semua pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri yang diadakan sejak pilihan raya umum ke-14 lalu, dan isu itu tidak pernah dibangkitkan.

"Kenapa tiba-tiba sewaktu perlu berdepan PRN Johor sahaja dakwaan janggal seperti ini dikeluarkan?

"Melainkan sudah mula ada kurang yakin dengan kemampuan parti sendiri," soal Shahril.

Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan semalam, membuka laluan kepada pilihan raya negeri mengejut ketiga sejak 2020.

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad semalam berkata kerajaan negeri dengan majoriti satu kerusi di DUN 56 kerusi tidak boleh terus berfungsi berdasarkan "ihsan pembangkang."

Kerajaan pimpinan Umno mempunyai majoriti kecil 28 kerusi kepada 27 kerusi berikutan kematian bekas menteri besar Osman Sapian bulan lepas.