Skip to main
Logo Malaysiakini

Khaled Nordin sahkan tidak akan tanding PRN Johor

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, tidak berhasrat menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

Khaled yang juga adalah bekas menteri besar Johor, berkata, dia tidak akan membuat kemunculan semula.

"Tidak, saya tidak akan bertanding dan tidak menawarkan diri untuk bertanding pada PRN Johor.

"Saya merasakan Datuk Hasni Mohammad (Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan Umno Johor) melakukan kerja yang baik menerajui negeri.

"Kita perlu beri peluang dan pendedahan kepada pemimpin muda untuk bertanding. Ini adalah keputusan saya walaupun ada pihak mendakwa saya akan bertanding, itu adalah tidak benar," katanya yang dipetik Berita Harian, hari ini.

Spekulasi bahawa dia bakal kembali dan bertanding pada PRN Johor timbul pada 14Januari lalu, susulan perkongsian gambarnya menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Pasir Pelangi, di Johor Bahru.

Khaled sebaliknya berkata, pertemuan bersama Sultan Johor sekadar bertanya khabar di samping membincangkan isu semasa membabitkan negeri Johor termasuk isu banjir.

Ketua Umno Pasir Gudang itu juga menafikan desas desus bahawa dirinya akan dicalonkan di DUN dalam daerah Kota Tinggi yang juga antara kubu kuat Umno di Johor.

"Tidak...tidak. Isu ini tidak timbul. Itu bukan keutamaan saya mahu pun Umno.

"Kena faham kita nak pastikan Johor kembali stabil dan kepentingan rakyat perlu diutamakan berbanding perkara lain," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Khaled tewas di kerusi DUN Permas apabila mendapat 20,047 undi kepada Che Zakaria Mohd Salleh (Bersatu) yang memperoleh 28,793 undi, dengan majoriti 8,746 undi.