Skip to main
Logo Malaysiakini

PH gesa ceramah, kempen bersemuka dibenarkan untuk PRN Johor

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PH menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar membenarkan kegiatan kempen bersemuka dan ceramah dibenarkan dalam PRN Johor.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini berkata, ia kerana keadaan wabak Covid-19 di Malaysia sudah semakin stabil, justeru kegiatan seperti kempen bersemuka secara selamat patut dibenarkan.

“Memandangkan wabak Covid-19 semakin bersifat endemik dengan jumlah kes positif serta jumlah kemasukan ke hospital yang agak stabil, dan jumlah penerima dos kedua yang mencecah 80 peratus dan dos penggalak lebih 30 peratus, PH berpendirian SPR perlu memperbetul Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi kempen PRN Johor bagi membolehkan aktiviti seperti ceramah dan kempen bersemuka diadakan dengan selamat,” kata PH selepas mesyuarat majlis presiden hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.

PH juga menggesa SPR menetapkan tempoh kempen selama 21 hari, selain memastikan akses media yang adil dan suruhanjaya itu digerakkan di kedutaan negara di luar negara untuk memastikan pelaksanaan undi pos berjalan dengan baik.

Dalam pada itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin turut menggesa SOP yang seimbang.

"Saya berharap SOP yang akan ditetapkan nanti seimbang dari segi keutamaan untuk mencegah penularan Covid-19 dan memberi ruang kepada parti politik untuk berkempen secara bebas, adil dan selamat," katanya dalam kenyataan.

Muhyiddin turut mengesahkan keputusan Umno dan BN untuk memohon pembubaran DUN tidak dibincangkan dengan PN, walaupun gabungan itu sebahagian daripada kerajaan negeri.

Pada September 2020, PRN Sabah mencetuskan gelombang Covid-19 yang akhirnya tersebar di seluruh negara.

Ketika itu, himpunan dibenarkan dengan jumlah hadirin tanpa had di tempat terbuka dan had 250 orang di tempat tertutup.

Kempen bersemuka

Susulan itu, pihak berkuasa meletakkan syarat yang ketat untuk kempen bersemuka.

Malah ia tidak dibenarkan dalam PRN Melaka pada November lalu.

Dalam PRN Sarawak pada Disember lalu pula, ceramah hanya dibenarkan di 64 daripada 82 kawasan DUN yang dikategorikan sebagai memiliki liputan 4G yang rendah, dengan ujian Covid-19 diwajibkan sebelum acara.

DUN Johor dibubarkan pada 22 Januari lalu dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara itu pada 2 Februari ini.

Ia di saat kes Covid-19 sedikit meningkat, walaupun jumlah kemasukan di hospital kekal dalam trend penurunan.

Setakat semalam, nilai kebolehjangkitan atau R-naught di Malaysia adalah 1.08. Begitu juga dengan Johor. Ia menandakan penularan yang meningkat.

Setakat semalam juga, kadar vaksinasi di Johor adalah 80.7 peratus manakala kadar penerima dos penggalak 30 peratus.