Skip to main
Logo Malaysiakini

Hanya ada dua pilihan buat Abdul Khalim, kata MP Kepong

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kenyataan Jabatan Perhutanan Kelantan mengenai hubung kait pembalakan serta populasi harimau di negeri itu turut menarik perhatian - dan komen - daripada Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng

Kata Lim kenyataan tersebut - yang dibuat pengarah jabatan terbabit, Abdul Khalim Abu Samah - tidak selari dengan situas sebenar yang berlaku sekarang.

“Abdul Khalim pasti teringat kucingnya di rumah apabila memberitahu media bahawa berdasarkan kajian pakar, kawasan hutan yang ditebang sebenarnya baik untuk populasi harimau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk menguatkan sanggahannya, Lim turut memetik laporan The National Geographic bahawa 80 peratus haiwan dan tumbuhan daratan yang hidup di dalam hutan terancam akibat aktiviti penebangan hutan.

Dakwa Lim, antara spesies yang teracam itu ialah harimau Sumatera.

“Sementara itu, Tabung Alam Sedunia (WWF) menyatakan, harimau ditemui di pelbagai habitat seperti hutan hujan, padang rumput, savana dan paya bakau.

“Malangnya, 93 peratus daripada kawasan harimau yang bersejarah telah hilang terutamanya akibat aktiviti meluas manusia.

"Menyelamatkan harimau bermakna menyelamatkan hutan yang penting untuk kebaikan planet ini'," katanya. 

Kenyataan mesti disangkal

Semalam Abdul Khalim menarik perhatian ramai apabila menyatakan ada kebaikan untuk harimau daripada kegiatan pembalakan yang sah. 

Menurutnya, akibat daripada kegiatan pembalakan, akan ada tumbuhan - termasuk anak pokok - baru yang muncul dan menjadi makanan kepada haiwan lain seperti kancil.

Haiwan seperti itu, tambahnya, akan menyediakan makanan yang lebih mudah kepada harimau.

Kenyataan itu hadir ketika tumpuan orang ramai terarah ke Kelantan ekoran terbunuhnya Orang Asli akibat diserang harimau baru-baru ini. Binatang buas itu juga dilihat berkeliaran di kawasan petempatan Orang Asli di Gua Musang.

Lim berkata jika pandangan Jabatan Perhutanan Kelantan itu tidak dicabar, negara berisiko manjadi bahan ketawa kepada dunia.

“Hipotesis Abdul Khalim berdepan kritikan orang ramai dan Malaysia akan kembali menjadi bahan ketawa seluruh dunia jika beliau tidak disangkal oleh kerajaan atau kementerian yang berkenaan," katanya.

Pada masa sama kata Lim, Abdul Khalim kini hanya ada dua pilihan iaitu mengemukakan kajian pakar yang dirujuknya dalam kenyataan berkenaan, atau menarik balik dakwaan tersebut serta meminta maaf.

Pada 7 Jan lalu seorang Orang Asli maut dibaham harimau berhampiran Pos Bihai, Gua Musang. Sekolah-sekolah di kawasan itu juga ditutup berikutan dakwaan kemunculan harimau.

Masyarakat Orang Asli mendakwa penebangan hutan di Gua Musang telah mendorong harimau itu lebih dekat dengan petempatan manusia kerana mereka kehilangan habitat.

Kerajaan Kelantan yang banyak bergantung kepada hasil pembalakan menegaskan pembalakan tidak ada kaitan dengan serangan harimau.

[Baca berita asal]