Skip to main
Logo Malaysiakini

Armada Johor mahu parti tubuhkan jawatankuasa sendiri pantau PRN

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemuda Bersatu (Armada) Johor mencadangkan jentera pilihan raya parti itu agar merangka kaedah pemantauan sendiri bagi memastikan calon parti itu mempamerkan politik bersih dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketuanya, Muhammad Shamsuddin Paijan berkata bagi mencapai demokrasi dan kerajaan yang berkualiti, ia mesti dimulakan dengan pilihan raya yang bersih.

"Armada Johor juga berharap badan bebas atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) serta Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik memainkan peranan lebih aktif pada PRN Johor.

"Kami juga berharap jentera pilihan raya Bersatu Johor mewujudkan kaedah pemantauan tersendiri bagi memastikan calon parti sendiri mempamerkan politik yang bersih, seiring perubahan dan pembaharuan politik negara yang sedang diperjuangkan oleh gagasan Perikatan Nasional (PN)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pilihan raya yang bersih juga untuk memastikan kemenangan dicapai secara bermaruah, bebas rasuah dan penyelewengan serta tanpa manipulasi jentera dan sumber kerajaan.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 akan diadakan pada 9 Feb depan.

Sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut," kata Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak.

Dalam pada itu, Armada Johor mendesak SPR agar mengumumkan langkah bagi meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan sepanjang proses PRN bagi menjamin pilihan raya yang lebih adil, telus serta berintegriti.

"Kami mahu PRN Johor menjadi kayu pengukur mahupun platform memulakan sebahagian daripada aspirasi perubahan dan pembaharuan politik negara yang dicetuskan oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang merupakan satu proses perubahan yang sangat signifikan kepada landskap politik negara.

"Kami mahu kualiti keadilan, ketelusan dan integriti dalam pilihan raya di negara ini ditingkatkan bermula dengan PRN Johor supaya terhasil sebuah kerajaan yang bermaruah, sifar rasuah serta bebas penyelewengan sepertimana aspirasi majoriti rakyat di negara ini," katanya lagi.