MB: Siram pokok durian guna air terawat dipercayai punca gangguan air di Sik
Aktiviti menyiram pokok durian Musang King dan Duri Hitam dengan menggunakan sumber bekalan air terawat pada waktu malam dipercayai antara punca berlakunya tekanan air rendah lebih serius di daerah Sik ketika ini.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri mengesan aktiviti itu berlaku di kawasan dusun yang terletak jauh dari sumber air seperti tali air kerana petani tiada pilihan ekoran musim kemarau di negeri ini.
"Lazimnya, kita simpan air untuk diguna sebelah pagi pada waktu malam, pada pukul 1 hingga 6 pagi waktu orang tidur, air akan berkumpul di dalam tangki.
"Kita jumpa satu trend, air menyusut pada waktu itu dan kita menyimpulkan ada aktiviti penyiraman serta simpan air di dusun untuk siram pokok durian," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hamper sempena sambutan Tahun baru Cina di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di Sik.
Muhammad Sanusi berkata penduduk akan terus menanggung gangguan bekalan air sepanjang masa akibat perbuatan itu.
"Air terawat kosnya tinggi, walaupun dia (petani) bayar bil itu tetapi menyebabkan sistem (bekalan air) kita mengalami penurunan tekanan," katanya.
Sehubungan itu, Muhammad Sanusi mengharapkan pihak yang mengusahakan tanaman pokok durian mencari alternatif untuk menyiram pokok tanpa menggunakan bekalan air terawat untuk kegunaan penduduk.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata setakat ini dua premis judi di Baling menamatkan operasi selepas kerajaan negeri tidak memperbarui lesen kedua-duanya.
Beliau berkata lebih 50 premis judi di negeri ini akan menamatkan operasi secara berperingkat tahun ini apabila kerajaan negeri membuat keputusan untuk tidak memperbarui lesen berkuat kuasa serta-merta pada November lepas.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai