Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pembalakan baik untuk populasi harimau' - Perlu dilihat dari aspek pratikal

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Profesor Dr Ahmad Ismail kenyataan 'pembalakan baik untuk populasi harimau' perlu dilihat dari aspek pratikal.

Menurutnya, secara teori mungkin boleh diterima bahawa apabila pokok besar ditebang akan wujud kawasan lapang yang ditumbuhi pokok-pokok baru yang berfaedah kepada haiwan yang memakan tumbuhan.

"Secara teori mungkin boleh diterima apabila pokok besar ditebang, wujud kawasan lapang dan naik pokok-pokok baru dan berfaedah kepada haiwan memakan tumbuhan.

"Namun begitu kena tengok pula adakah lantai hutan dibersihkan atau tidak?

"Banyak faktor asas ekologi perlu dilihat yang mungkin sudah ada dalam sukatan pelajaran sekolah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan Abdul Khalim Abu Samah yang menyatakan aktiviti pembalakan baik kepada populasi harimau.

Menurutnya, kesan pembalakan akan menyebabkan tumbuhnya tumbuhan baru yang menggalakkan kehadiran spesis haiwan yang menjadi makanan kepada harimau.

"Berdasarkan fakta kajian oleh pakar, kawasan-kawasan selepas pembalakan sebenarnya bagus untuk populasi harimau," katanya, semalam. 

Sementara itu Ahmad berkata secara praktikal perlu tengok keluasan kawasan hutan yang ada untuk habitat harimau.

Soalnya, adakah cukup untuk mereka (harimau) lari jauh ketika pembalakan berlaku?

"Harimau bukan haiwan yang mesra manusia, mereka akan lari jauh daripada aktiviti manusia.

"Sekiranya tidak cukup kawasan legar (rayau) mereka mungkin akan menimbulkan konflik dengan manusia," katanya.