Skip to main
Logo Malaysiakini

Shafee: Rayuan SRC isu kompleks, perlu peguam diraja UK

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Peguam Diraja dari United Kingdom (UK) memiliki pengalaman dan kepakaran untuk membantu Najib Razak dalam persoalan perundangan dan isu kompleks dalam rayuannya berkaitan kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Perkara itu dinyatakan dalam surat peguam bekas perdana menteri itu daripada firma Shafee & Co kepada setiausaha kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat hari ini.

Najib memohon untuk melantik peguam diraja UK untuk mengendalikan rayuannya bagi membatalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kes melibatkan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan.

Dia disabitkan bersalah terhadap satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Pangkat peguam diraja dianugerahkan Ratu Elizabeth II kepada peguam yang menunjukkan kepakaran dan kemahiran tertentu di mahkamah.

Menurut salinan surat yang diberikan kepada media hari ini, ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah berkata mereka juga memohon agar Mahkamah Persekutuan tidak menetapkan tarikh awal bagi pendengaran rayuan Najib.

Shafee berkata ini kerana mereka memerlukan masa untuk menterjemah banyak nota dan dokumen mahkamah berkaitan kes itu daripada bahasa Malaysia kepada bahasa Inggeris, agar dia dan peguam lain dapat memberi penerangan terhadap peguam diraja tersebut secara berkesan.

“Memandangkan rayuan melibatkan isu kompleks dan persoalan undang-undang yang dikira luar daripada kebiasaan di Malaysia dan Komanwel, perayu (Najib) memerlukan nasihat dan kepakaran seorang peguam diraja berpengalaman yang telah mengendalikan isu-isu kompleks ini.

“Maka, perayu memerlukan masa, selepas menerima rekod rayuan, untuk memberikannya kepada peguam diraja di London,” katanya dalam surat yang ditandatanganinya itu.

Ketika dihubungi, timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul mengesahkan surat tersebut.

Pengurusan kes

Pengurusan kes itu dijadual dijalankan di Mahkamah Persekutuan pada Jumaat ini.

Pada 7 Disember lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru bagi rayuannya itu.

Sehari kemudian, Mahkamah Rayuan menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan bersalah dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi terhadapnya.

Selain sebagai bekas perdana menteri, Najib juga pernah memegang jawatan menteri kewangan, penasihat emeritus SRC dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

[Baca berita asal]