Skip to main
Logo Malaysiakini

MAIS gagal kembalikan penukaran agama Islam 5 beradik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak kebenaran kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Ketua Pendaftar Muallaf Selangor untuk merayu supaya status agama Islam lima kanak-kanak dikembalikan.

Rayuan kedua-dua agensi agama negeri itu adalah berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam 2020 yang membenarkan tindakan sivil oleh ibu bukan Islam kanak-kanak itu untuk membatalkan penukaran agama yang dimulakan oleh bapa mualaf mereka.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, pagi ini sebulat suara menolak permohonan supaya dua badan agama negeri itu mendapat kebenaran untuk meneruskan rayuan.

Anggota panel hakim mahkamah tertinggi yang lain hari ini ialah Vernon Ong Lam Kiat dan Hasnah Mohammed Hashim.

"Mahkamah (Mahkamah Rayuan dan Tinggi) adalah betul dalam mengikuti keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi," kata Hakim Tengku Maimun.

Menurutnya, bahawa mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan 2018 dalam kes penukaran agama anak-anak guru tadika, M Indira Gandhi.

Dalam kes itu, Mahkamah Persekutuan memutuskan persetujuan ibu dan bapa diperlukan untuk menukar agama anak-anak kepada Islam.

Dalam penghakimannya, Tengku Maimun berkata peruntukan Seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dengan jelas menyatakan bahawa seseorang yang bukan beragama Islam boleh memeluk agama Islam sekiranya dia berakal dan mencapai umur 18 tahun, atau jika dia belum mencapai umur 18 tahun, ibu dan bapa mesti bersetuju dengan penukaran agama.

“Permohonan (oleh MAIS dan Ketua Pendaftar Muallaf) juga tidak memenuhi syarat Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk kebenaran diberikan,” katanya.

Dia turut memerintahkan MAIS dan Ketua Pendaftar Muallaf membayar kos RM30,000.

MAIS dan Ketua Pendaftar Muallaf memohon kebenaran untuk merayu selepas ibu kanak-kanak itu memfailkan permohonan semakan kehakiman, antara lain memohon perintah mahkamah supaya membatalkan pendaftaran dan pengisytiharan memeluk Islam anak-anaknya itu.

Wanita berusia 33 tahun itu menamakan bekas suaminya, pengerusi MAIS, Ketua Pendaftar Muallaf Selangor, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Pada 1 Nov 2018, bapa kanak-kanak itu memeluk agama Islam dan pada hari yang sama turut menukarkan agama lima anaknya itu tanpa kebenaran ibu.

Pada tarikh berkenaan, anak sulung berusia 10 tahun, manakala anak yang lain berumur sembilan, enam, lima dan tiga tahun.

Ibu tersebut hanya mengetahui anak-anaknya beragama Islam selepas menerima surat daripada MAIS pada 2019, mengesahkan pendaftaran penukaran agama Islam anak-anaknya.

Semasa membenarkan semakan kehakiman ibu itu, hakim Mahkamah Tinggi Tun Abd Majid Tun Hamzah memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi adalah mengikat mahkamah rendah dan enakmen Selangor dengan jelas menyatakan bahawa ibu dan bapa perlu bersetuju dengan penukaran agama mereka itu.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun lalu.