Skip to main
Logo Malaysiakini

Pembantu menteri Sarawak dikecam kerana 'ugut tahan gaji' ketua rumah panjang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen pembangkang Dr Kelvin Yii (gambar) mengkritik seorang pembantu menteri Sarawak kerana mengugut untuk menahan gaji pemimpin komuniti yang cenderung kepada pembangkang.

Pembantu Menteri II Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri Francis Harden Hollis baru-baru ini mengingatkan pemimpin Iban di Sri Aman bahawa GPS membayar elaun dan gaji mereka.

Dia dilaporkan berkata adalah "janggal dan tidak masuk akal" bagi ketua rumah panjang yang menentang kerajaan negeri menerima sebarang bayaran.

Dalam satu kenyataan hari ini, Yii mengingatkan Harden bahawa pembayar cukai sebenarnya yang membayar gaji pemimpin masyarakat.

Justeru, katanya, adalah satu "penghinaan" untuk menuntut pemimpin komuniti menyokong kerajaan dengan cara sedemikian.

“Gaji mereka tidak boleh digunakan sebagai wang tebusan untuk mengawal mereka kerana dana tersebut diperoleh daripada dana pembayar cukai, bukan wang daripada mana-mana parti politik.

“Hakikatnya peruntukan sama rata harus diberikan kepada semua orang tidak kira (sama ada) mereka menentang atau menyokong kerajaan.

“Lagipun, dana dan sumber adalah milik rakyat dan untuk rakyat. Rakyat tidak harus dihukum kerana pilihan undi mereka,” kata ahli parlimen DAP Bandar Kuching itu.

Penolong menteri II bagi Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri Francis Harden Hollis.

Yii seterusnya mengkritik GPS kerana menggunakan gaji ketua rumah panjang sebagai alat untuk "ketakutan dan kawalan" dalam masyarakat luar bandar.

“Sedihnya, budaya politik toksik dan menindas sebegitu melanda Sarawak selama ini, di mana kerajaan negeri menggunakan kedudukan mereka untuk menimbulkan ketakutan dan kawalan ke atas rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.

"Walaupun mereka telah ketinggalan selama ini dalam infrastruktur yang paling asas," katanya.

Untuk menghapuskan kawalan politik masyarakat, Yii menggesa ketua rumah panjang dan tuai rumah dipilih dan bukannya dilantik oleh ahli politik.

“Saya menyeru rakyat untuk menolak ‘politik lama’ dan menuntut pembaharuan, termasuk peruntukan sama rata dan yang lebih penting, pemilihan yang wajar di kalangan penduduk kampung untuk tuai rumah dan ketua masyarakat mereka.

"Apabila pemimpin masyarakat dilantik secara politik, ahli politik menganggap mereka memiliki pemimpin berkenaan, dan ini mesti berubah," katanya.

Selain Yii, parti pembangkang Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) juga mengkritik Harden kerana komennya yang bersifat "dendam politik".

Bercakap kepada The Borneo Post, presiden PBDSB Bobby William berkata pemimpin komuniti mempunyai hak demokratik untuk mengundi siapa yang mereka mahu.

Dia juga menegaskan bahawa kerajaan negeri hanyalah penjaga wang negeri yang dibiayai rakyat.

Pada pilihan raya Sarawak Disember 2021, Harden menang tipis

di kerusi Simaggang dengan majoriti 175 undi menentang Wilson Entabang dari PSB. Ini merupakan penggal keenam dia sebagai Adun.

Simanggang merupakan salah satu kerusi DUN dalam kawasan parlimen Sri Aman, di mana kaum Iban-Sarawakia adalah majoriti etnik.