Skip to main
Logo Malaysiakini

Majoriti pemimpin akar umbi mahu BN tanding solo di Johor - Mat Hasan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata majoriti kepimpinan BN di semua peringkat bahagian akar umbi mahu gabungan itu bersendirian dalam menghadapi PRN Johor.

Bagaimanapun, katanya, Umno sedia meneliti kerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Kita akan lihat dengan teliti, kita akan kaji dgn teliti tapi buat masa ini, majoriti dari kepimpinan di semua peringkat bahagian akar umbi mahukan BN berseorangan di dalam pilihan raya ini.

"Tapi walau bagaimana pun peringkat pemimpin tertinggi akan meneliti dengan sebaik-baiknya sebelum apa jua keputusan nak dibuat supaya apa diputuskan nanti semata-mata akan datangkan kebaikan kepada BN," katanya dalam sidang media di Johor Bahru, hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada BN sudah membuat keputusan berhubung kerjasama dengan PAS dalam PRN Johor.

Semalam, PAS menyuarakan hasrat untuk meletakkan calon mereka di semua kerusi yang gagal ditawan oleh BN dalam pilihan raya umum (PRU) lalu namun mereka kemudian hanya ditawarkan empat kerusi oleh Umno.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata cadangan tersebut dibawa kepada Umno dengan matlamat mahu mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang sebelum ini mempertemukan kedua-dua parti ketika mereka masih pembangkang.

 

Katanya, formula yang dibawa PAS itu dikemukakan dengan matlamat mahu menghalang Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa di Johor.

Bagaimanapun, kata menteri alam sekitar dan air itu, apabila cadangan PAS tidak diterima, rundingan dengan BN akhirnya gagal mencapai titik persefahaman.

Mengulas mengenai pengundi muda dalam PRN Johor, Mohamad berkata semua parti akan berhadapan dengan pengundi muda.

"Pengundi muda ini bukan dihadapi oleh BN seorang saja. Dia akan dihadapai semua parti dan semua parti akan hadapi isu sama.

"Terpulang kepada kami BN dan parti masing-masing menggunakan apa jua cara untuk memberiklan keyakinan kepada orang muda bahawa ini parti patut diberi mandat negeri Johor untuk lima tahun akan datang," katanya.