Skip to main
Logo Malaysiakini

Azan nak tahu perkembangan terkini siasatan Kertas Pandora

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PKR Terengganu mahu kerajaan segera mengemas kini perkembangan siasatan Kertas Pandora yang melibatkan pemimpin politik, ahli peniaga dan orang kenamaan di negara ini.

Pengerusinya, Azan Ismail, berkata walaupun pendedahan itu sudah dibuat lama, kerajaan masih berdiamkan diri mengenai perkembangan siasatan terhadap isu tersebut.

"Selepas enam bulan pendedahan Kertas Pandora, nampaknya isu ini seperti disembunyikan kerana tidak ada laporan seperti dijanjikan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

"Saya mendesak perkara ini dibangkitkan semula dan laporkan isu tersebut ini kepada orang ramai agar keyakinan terhadap negara ini termasuk dalam kalangan pelabur boleh dipulihkan," katanya kepada Malaysiakini.

Kertas Pandora merujuk kepada sejumlah dokumen yang dibocorkan kepada Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).

Maklumat itu berasal dari sejumlah syarikat yang membantu pelanggan mereka menubuhkan atau menguruskan akaun luar pesisir dan syarikat di tempat bebas cukai.

Warga Malaysia yang dinamakan dalam pendedahan itu termasuk Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Timbalan Menteri kewangan Yamani Hafez Musa, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Anggota Parlimen Selayang William Leong dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Ismail Sabri berkata kerajaan bersikap terbuka untuk membenarkan pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas individu yang terlibat, sekiranya terdapat bukti salah laku.

Kata Azan jalan yang ada sekarang ialah kerajaan membuat susulan penyiasatan terbuka.

"Kerajaan perlu tampil dengan siasatan terbuka atau mengeluarkan kertas putih mengenai isu tersebut," katanya.