'Pembalakan haram di Kelantan tak serius'
Kerajaan Kelantan mengakui mereka sedar akan kewujudan aktiviti pembalakan haram dan penerokaan hutan simpan kekal di negeri itu, namun menegaskan ia tidak begitu serius.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Abdullah ketika ditanya berhubung aktiviti tersebut hari ini.
Jelas Mohd Amar lagi, pembalakan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab itu sebenarnya tidak terhad di Kelantan saja malah di seluruh negara. Cuma tambahnya di Kelantan ia masih terkawal.
"Pembalakan haram memang ada (di Kelantan), misalnya (kerana) ada orang kampung nak buat kebun, dia nak tanam durian, kelapa sawit... jadi dia tebang hutan simpan.
"Dari segi undang-undang memang salah menceroboh hutan simpan dan kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur.
"Apabila ada kesalahan, kita akan ambil tindakan," katanya selepas menghadiri mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.
Mohd Amar berkata demikian sebagai mengulas kes penerokaan haram kawasan hutan simpan negeri dengan menanam kelapa sawit. Tanah itu kemudian dijual pada harga rendah kepada orang ramai.
Kes tersebut antara taktik terbaru dilakukan sindiket pencerobohan hutan simpan yang dikesan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.
Ketika ditanya dakwaan punca pembalakan haram yang menyebabkan harimau masuk ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, naib presiden PAS itu menegaskan, tanggapan itu tidak betul.
"Harimau masuk kampung bukan kerana penebangan hutan dan kita ada baca kenyataan Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) Kelantan yang sebut harimau masuk kampung sebab faktor harimau kena penyakit.
"Keadaan ini menyebabkan harimau merayau dalam kampung kerana tidak boleh mencari makanan seperti biasa.
"Kalau kita hendak salahkan penebangan balak, itu tidak betul. Banjir sikit pun nak salahkan penebangan balak. Benda itu bukan begitu," katanya.
Tambah Mohd Amar, Perhilitan juga sedang berusaha untuk memburu dua ekor harimau dan kerajaan percaya dengan apa yang dibuat sekarang masalah tersebut boleh diselesaikan.
"Setakat semalam, Perhilitan tidak boleh kesan lagi dua ekor harimau yang merayau dan haiwan itu juga tidak masuk ke kampung selepas seekor daripadanya ditembak
"Kerajaan negeri juga menasihatkan Orang Asli supaya tidak keluar rumah dan mereka mendengar nasihat yang diberikan. Pelbagai pihak juga menghulurkan bantuan kepada Orang Asli untuk meneruskan kehidupan dan setakat ini juga kita tidak ada perancangan untuk memindahkan mereka memandangkan penduduk di situ lebih selesa berada di kampungnya berbading lokasi baru," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai