Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas hakim heret kerajaan ke mahkamah berkait isu pencen

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seramai 35 pesara hakim termasuk balu atau tanggung mereka mengemukakan saman terhadap kerajaan Malaysia dan tiga yang lain berhubung kegagalan menetapkan kenaikan pencen dan faedah yang diterima mereka sejak 2015.

Mereka termasuk bekas Presiden Mahkamah Rayuan Alauddin Mohd Sheriff; bekas Hakim Besar Malaya Norma Yaakob; bekas Hakim Mahkamah Rayuan dan bekas Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yunos dan bekas Hakim Besar Malaya Haidar Mohamed Noor.

Saman itu menamakan kerajaan, perdana menteri (tidak dinamakan), jemaah menteri (juga tidak dinamakan) dan ketua pengarah Perkhidmatan Awam (juga tidak dinamakan) sebagai defendan pertama hingga keempat.

Menurut saman pemula yang difailkan minggu lalu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur itu, 28 plaintif adalah pesara hakim manakala tujuh yang lain adalah balu atau orang tanggungan mereka.

Plaintif diwakili oleh firma peguam Tetuan Chooi & Company dan Cheang & Ariff .

Dalam saman itu, semua plaintif memohon deklarasi bahawa kegagalan untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain bagi setiap plaintif mengikut Seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45) melalui perintah dalam Warta telah melanggar Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka memohon perintah bahawa defendan kedua atau ketiga (perdana menteri dan jemaah menteri) hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain yang diberikan kepada setiap plaintif berkuat kuasa dari 1 Julai 2015 mengikut Seksyen 15B(2) akta tersebut.

Selain itu, mereka memohon perintah mahkamah supaya defendan membayar amaun yang setiap plaintif berhak terima sejak 1 Julai 2015 selain kos, faedah dan perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif berkata mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen hakim bersara dan orang tanggungan hakim yang telah meninggal dunia diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa hakim masih berkhidmat yang disemak secara berperingkat dari semasa ke semasa sebagaimana yang wajib dilakukan menurut Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut plaintif, cara pengiraan pelarasan dinyatakan dalam Jadual Ketiga dan Keempat akta terbabit tetapi ia dipadamkan daripada akta itu menyebabkan hak mereka terjejas apabila gaji hakim yang sedang berkhidmat dinaikkan berkuat kuasa pada 1 Julai 2015.

"Di bawah peruntukan Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971 (sebelum pindaan dibuat), pencen plaintif akan diselaraskan secara automatik sejajar dengan kenaikan gaji hakim yang masih berkhidmat.

“Bagaimanapun, mengikut peruntukan Seksyen 15B(1) (selepas pindaan dan dikira secara retrospektif), pencen hakim bersara diselaraskan setiap tahun dengan kenaikan dua peratus dan tidak lagi mengambil kira kenaikan gaji yang diterima oleh hakim yang masih berkhidmat," menurut plaintif dalam saman itu.

Plaintif berkata keadaan itu menyebabkan mana-mana hakim yang dilantik sebelum 1 Jan 2014 akan menerima pencen lebih rendah daripada sepatutnya.

Menurut mereka, Perkara 125(7) yang dibaca bersama Perkara 125(9) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa hak pencen seseorang hakim dilarang atau secara mandatori dihalang daripada diubah sehingga merugikan beliau selepas pelantikannya.