Skip to main
Logo Malaysiakini

Jabatan penjara tubuh jawatankuasa tangani kesesakan banduan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jabatan Penjara Malaysia akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji mekanisme yang digunakan oleh penjara Sarawak dalam menangani masalah kesesakan banduan, kata Komisioner Jeneral Penjara Nordin Muhamad.

Nordin berkata jawatankuasa itu akan mengkaji keberkesanan serta kaedah yang digunakan oleh penjara Sarawak untuk diaplikasikan di seluruh penjara di Malaysia.

“Kita (Jabatan Penjara) sudah minta bahagian dasar mewujudkan segera jawatankuasa itu, yang mana kita akan lihat uniknya negeri Sarawak ini sebab boleh mengawal kesesakan banduannya.

“Di Sarawak, secara keseluruhannya banduan yang ada dalam penjara adalah 9 peratus di bawah kesesakan, maknanya kapasiti penjaranya boleh menampung lebih daripada jumlah banduan yang ada pada masa ini,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jabatan Penjara Malaysia Tahun 2021 Zon Sarawak di Auditorium Penjara Puncak Borneo di Kuching, hari ini.

Nordin berkata daripada enam buah institusi penjara di Sarawak, hanya penjara-penjara di Puncak Borneo di Kuching dan Penjara Lambir di Miri sahaja yang mengalami kesesakan.

Ditanya mengenai jenayah berulang atau residivisme yang dilakukan oleh bekas banduan, katanya Penjara Sarawak berjaya merekodkan pencapaian yang baik dengan kadar di bawah 0.3 peratus berbanding purata iaitu 13.86 peratus.

"Peratusan ini tidak sampai setengah peratus daripada kadar residivisme dilaporkan, seolah-olah daripada 300 banduan yang dibebaskan, hanya seorang sahaja yang masuk semula ke penjara.

“Perkara ini juga memerlukan kajian terperinci, adakah disebabkan oleh sistem, proses, keutamaan yang berbeza telah dipraktikkan di sini atau kebudayaan, cara hidup, peradaban dalam masyarakat Sarawak yang boleh kita contohi,” katanya.

Pada majlis itu, dia telah menyampaikan Pingat Johan Bakti kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Dr Sabariah Putit sebagai pengiktirafan tertinggi dalam hirarki Jabatan Penjara atas kesetiaan berbakti dalam sistem pemulihan jabatan, selain 25 orang pegawai penjara yang menerima pingat tertinggi Jabatan seperti Pingat Komisioner Jeneral Penjara Kelas Pertama dan Kelas Kedua.

-Bernama