Skip to main
Logo Malaysiakini

Pulanglah - Gerakan #JohorNgundi nak bantu anak muda balik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Sekumpulan belia memulakan gerakan bernama #JohorNgundi untuk menggalakkan pengundi muda Johor yang berada di luar negeri pulang pada pilihan raya negeri akan datang, dengan menawarkan perkhidmatan pengangkutan percuma.

Kumpulan itu berkata mereka bimbang ramai pengundi Johor terutama golongan belia tidak akan kembali mengundi kerana beranggapan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.

Itulah yang berlaku dengan pengundian mengejut Melaka yang mengakibatkan peratusan keluar mengundi rendah.

“Tidak mustahil ia akan berulang pada pilihan raya negeri Johor.

“Justeru, kami para belia dari Johor dan pelbagai negeri akan memulakan kempen untuk keluar mengundi di Johor dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan, sama ada melalui pengangkutan awam atau bas,” kata jurucakap kumpulan itu Aidi Zuhaili pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) hari ini.

Pilihan raya Johor ini merupakan kali pertama Undi18 berkuat kuasa, katanya, tetapi ramai belia menetap di luar negeri memandangkan mereka baru bekerja atau belajar.

Sukar bagi golongan belia ini untuk kali pertama pulang mengundi kerana kos pengangkutan, lebih-lebih lagi ramai yang menghadapi masalah ekonomi sekarang, kata Aidi.

"Kami anak muda yang cintakan negara, sangat bimbang dan kecewa dengan tindakan yang diambil kerajaan negeri Johor yang telah membubarkan dewan undangan negeri Johor lebih awal daripada yang sepatutnya.

"Kami tiada dana, kami bukanlah siapa-siapa, tetapi kami akan berusaha mencari dana dari emak ayah kami, pakcik makcik kami dan saudara-mara kami di Johor dan dari rakyat seluruh negara yang prihatin untuk membantu ramai anak muda Johor pulang mengundi.

"Kami juga akan membuka tabung untuk orang ramai menyumbang agar kempen balik mengundi ini dapat dipergiatkan dan anak-anak muda yang berhadapan masalah kos untuk pulang mengundi dapat dibantu dan dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai anak negeri Johor yang merdeka.,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai sumbangan untuk kempen tersebut boleh didapati melalui laman sosial mereka dengan nama ‘JohorNgundi’.

Aidi berkata mereka juga telah mendekati dan berjaya mendapat sokongan 15 kumpulan pelajar dan NGO untuk membantu mereka menyelaraskan rancangan tersebut.

Setakat ini, katanya, rancangan mereka untuk menyediakan pengangkutan di beberapa titik panas di seluruh negara tetapi lokasi titik panas itu perlu bergantung kepada mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan mereka.

Walaupun tumpuan mereka kepada golongan belia, mereka berkata pengangkutan itu juga akan dibuka kepada semua pengundi Johor yang berminat.

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad memohon pembubaran DUN Sabtu lepas, membuka laluan kepada pilihan raya negeri dalam tempoh 60 hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka bermesyuarat pada 9 Feb untuk memutuskan hari penamaan calon dan pengundian.

Umno mencetuskan pengundian mengejut itu selepas meraih kemenangan besar pada pilihan raya Melaka November lalu.

BN memenangi 21 dari 28 kerusi dalam pilihan raya Melaka, mendapatkan kembali penguasaan DUN dengan majoriti dua pertiga.

[Baca berita asal]