Skip to main
Logo Malaysiakini

K'jaan patut naikkan gaji minimum jadi RM1,400 - Kula

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas menteri sumber manusia M Kulasegaran menyarankan kerajaan supaya menyemak skim gaji minimum yang tidak dinaikkan sejak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada tahun 2020.

Katanya, kerajaan tidak boleh menggunakan alasan pandemik Covid-19 untuk tidak menaikkan gaji minimumnya.

"Semasa PH memerintah, kami berjanji kepada rakyat Malaysia bahawa akan ada kenaikan RM100 dalam gaji minimum setiap tahun.

"Ini bermakna gaji minimum sekarang sepatutnya RM1,400 jika PH masih berkuasa. Malangnya selepas PH disingkirkan, kini gaji kekal RM1,200 sebulan.

"Saya menggesa kerajaan sekarang supaya segera menaikkan gaji minimum kepada sekurang-kurangnya RM1,400 dan tidak menjadikan pandemik sebagai alasan untuk tidak berbuat demikian," katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya, kerajaan perlu mengambil perhatian negara lain seperti Amerika Syarikat telah menaikkan gaji minimum mereka semasa pandemik.

Gaji minimum mula diperkenalkan pada 2013 dan ditetapkan sebanyak RM900 di Semenanjung Malaysia dan RM800 di Sabah dan Sarawak.

Pada 2016, kadar itu dinaikkan kepada RM1,000 untuk Semenanjung Malaysia dan RM920 di Sabah dan Sarawak.

Semasa pentadbiran PH, gaji minimum dinaikkan dua kali - RM1,100 pada 2019 dan ditambah RM100 menjadikan RM1,200 pada 2020.

Kulasegaran yang juga ahli parlimen Ipoh Barat itu berkata berdasarkan satu penyelidikan setahun yang lalu harga produk makanan asas naik 34.5 peratus berbanding gaji minimum.

"Ini bermakna harga telah meningkat lebih cepat daripada gaji minimum.di Malaysia.

"Ini bukan sahaja melucutkan kuasa beli pekerja yang boleh membawa kepada kekurangan zat makanan, ia juga memperkukuh ketidaksamaan, yang boleh membawa kepada ketidakstabilan politik dan sosial dalam jangka panjang.

"Kerajaan juga harus melihat Model Gaji Progresif (PWM) Singapura di mana golongan B40 mempunyai peluang yang sama untuk memperoleh gaji yang berpatutan.

"Model ini juga membolehkan pekerja memperoleh lebih banyak (ganjaran) melalui peningkatan kemahiran dan meningkatkan produktiviti," katanya.