Skip to main
Logo Malaysiakini

Kontrak kapal tempur: Broker disyaki reka projek hantu tuntut RM24 juta

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang broker berusia 62 tahun ditahan SPRM semalam berhubung pemerolehan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) disyaki telah mencipta 'projek hantu' untuk mendapatkan dana berjumlah RM24 juta.

Menurut sumber yang mengetahui kes itu, lelaki terbabit didakwa bersekongkol dengan bekas CEO sebuah syarikat yang terlibat dalam pemerolehan kapal tersebut.

“Pada asasnya, syarikat ini mempunyai ramai subkontraktor yang bekerja di bawahnya dalam projek LCS.

“Penyiasat percaya suspek (broker) ditugaskan untuk melibatkan tiga syarikat supaya bertindak sebagai subkontraktor yang melakukan kerja yang sebenarnya tidak wujud, dan mengemukakan tuntutan palsu kepada syarikat pertama.

"Ini (penjelasan) bagaimana jumlah keseluruhannya mencecah RM24 juta. Tuntutan dibuat, tetapi tiada kerja sebenar dilakukan," kata sumber kepada Malaysiakini.

Sumber menunjukkan pada kesempatan itu, bekas CEO berkenaan yang telah ditahan oleh SPRM awal minggu ini telah memainkan peranannya.

Dengan tahap aksesnya, bekas ketua eksekutif terbabit didakwa membenarkan semua pembayaran untuk tuntutan palsu yang dituduh itu.

Semalam, dilaporkan SPRM telah menahan seorang broker kerana didakwa mengemukakan dokumen palsu berhubung pemerolehan enam LCS.

Menurut Bernama, SPRM juga telah menahan dua ketua pegawai eksekutif pada Isnin (24 Jan) selepas menemui petunjuk baru dalam siasatannya terhadap pemerolehan LCS oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).