Skip to main
Logo Malaysiakini

'Ada pemimpin buat percaturan politik untuk selamatkan diri'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menegaskan politik negara khususnya pilihan raya negeri (PRN) Johor bertujuan untuk menyelamatkan pemimpin yang sedang menghadapi masalah.

Katanya, terdapat pemimpin politik di Malaysia sedang menghadapi masalah dan membuat percaturan bagi mengelakkan diri mereka dari terjerumus teruk dalam permasalahan terbabit.

"Kita melihat keadaan politik di Malaysia ini ia berlaku kerana adanya sebilangan pemimpin yang mahu agar mereka mempunyai kuasa percaturan politik di negara ini, untuk menyelamatkan diri mereka.

"Ada di kalangan pemimpin-pemimpin Melayu di negara kita ini yang sedang bermasalah, dan bagi mengelakkan mereka terjerumus teruk dalam permasalahan itu, mereka pelu membuat sesuatu perkara bagi membolehkan mereka menggunakan kuasa-kuasa yang masih ada.

"Apabila mereka mempunyai kuasa yang lebih, mereka mengharapkan parti menang dan calon yang mereka pilih mewakili parti mereka tentunya (calon) ini akan membalas jasa dengan menyelamatkan mereka daripada terjerumus teruk dalam permasalahan mereka," katanya dalam satu program temubual bersama Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang disiarkan di saluran You Tube, hari ini.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi politik susulan pembubaran dewan undangan negeri (DUN) Johor yang akan berdepan PRN tidak lama lagi.

Walaupun tidak menyebut mana-mana pihak secara langsung, difahamkan menteri belia dan sukan itu merujuk kepada pemimpin-pemimpin Umno yang kini berdepan dengan pertuduhan di mahkamah membabitkan kes salah guna kuasa dan penyelewengan.

Sementara itu katanya, apa yang membimbangkan adakah rakyat Malaysia bersedia untuk bertindak dengan penuh bertanggungjawab memilih wakil rakyat bukan daripada pihak yang terpalit dengan salah guna kuasa.

"Saya amat percaya orang ramai faham tentang keadaan ini, namun yang membimbangkan pakah kita sebagai rakyat Malaysia bersedia untuk bertindak dengan penuh bertanggungjawab memastikan apa juga perkara penting yang kita buat, undi kita beri dengan bertanggungjawab memilih wakil bukan daripada pihak yang terpalit dengan salah guna kuasa dan perbuatan rasuah yang begitu merugikan kita semua," ujarnya.