Skip to main
Logo Malaysiakini

Mokhtar: Bukan balun Umno tapi cuma nasihat...

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ulama PAS yang lantang bersuara menafikan dia menyerang atau memarahi Umno melalui pandangan dilontarkannya di media sosial.

Menurut Mokhtar Senik apa yang diperkatakannya sebelum ini dibuat dengan niat yang baik untuk parti berkenaan, bukannya memperlekehkan mereka.

"Cuba perhatikan betul-betul, saya sebut 'agar Umno lebih baik'. Ini bermakna Umno sudah baik, cuma ia perlu lebih baik.

"Kenyataan itu biasa saja, kerana sesiapa pun inginkan kepada suatu yang lebih baik," katanya.

Semalam bekas ketua Dewan Ulama PAS Pahang itu menganggap Umno kini sangat ghairah untuk kembali berkuasa secara bersendirian walaupun sebelum ini mereka berada dalam kelompok yang saling membantu melalui Muafakat Nasional (MN).

Kata Mokhtar, Umno mengabaikan hakikat kemenangan parti itu dalam pilihan raya kecil sebelum ini adalah hasil sokongan PAS.

"Umno sudah semacam kembali dirasuk sifat asal mereka iaitu tamakkan kuasa dan rakuskan kerusi.

"Umno sudah lupa sama sekali dengan kemenangan-kemenangan yang mereka perolehi dalam pilihan raya kecil sebelum ini hasil bantuan dan pertolongan PAS.

"Namun kelihatannya tiada pawang lagi yang mampu merawat Umno selain sebuah kekalahan," katanya. 

Ia kemudian mendapat reaksi daripada Umno yang menyatakan rasa tidak senang mereka.

Ketua Penerangan Umno Malaysia Shahril Hamdan berkata semua ahli Umno pasti akan terasa dengan kenyataan tersebut, dan ia hanya akan menyukarkan usaha kerjasama di antara kedua-dua parti. 

Rakan Mokhtar dalam Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan, juga meminta pemimpin agar tidak saling menyerang kerana tindakan tersebut hanya akan membawa malu kepada partinya dan Umno.

Menurut Mokhtar dia juga bukan tidak menyokong MN dan hal itu, tambahnya, dapat dibuktikan melalui kenyataan dibuatnya sebelum ini.

"Ada yang kata saya balun Umno.

"Itu bukan balun tapi menasihati Umno, kerana sesungguhnya saya sangat sayang ukhwah yang telah terjalin.

"Sekali kita tidak menghargai anugerah Allah, maka Allah akan hina kita lebih parah dari sebelumnya," kata Mokhtar.